Antara kes bunuh paling misteri tahun ini
KUALA LUMPUR - Misteri kematian bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan pada 14 Jun tahun ini, belum lagi terjawab dan mengundang pelbagai spekulasi.
Allahyarham Nazrin, 48, pada mulanya dilaporkan maut akibat letupan telefon bimbit yang sedang dicas berdekatan katilnya yang menyebabkannya terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur tingkat atas rumahnya di Lorong PJU 7/24A, Mutiara Damansara, Petaling Jaya di sini dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.
Insiden itu menyebabkan 30 peratus daripada tubuhnya melecur dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan.
Siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kes kematian Nazrin bersama polis kemudian menemui beberapa ‘petunjuk’ baharu yang menimbulkan keraguan kepada penyiasat.
Akhirnya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan kes kematian Nazrin diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 3 Ogos berdasarkan laporan pihak bomba serta laporan bedah siasat.
Pada 4 Sept, polis menahan balu Nazrin dan bekas suaminya bagi membantu siasatan kes bunuh suaminya itu.
Wanita berumur 43 tahun itu ditahan di Taman Tun Dr Ismail dekat sini, kira-kira pukul 2.15 pagi setelah bekas suaminya ditahan di Sepang pada 1 pagi.
Sebelum itu, pada 15 Ogos, akhbar tempatan melaporkan wanita itu membidas badan penyiasat yang didakwa tidak telus dalam menjalankan siasatan kes kematian suaminya serta menuduh JBPM membuat dakwaan tidak benar mengenai kes itu.
Dalam membalas dakwaan itu, Ketua Pengarah JBPM berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan penyiasatan kes itu secara terperinci serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan hasil siasatan menunjukkan terdapat unsur jenayah.
Pada 8 Sept, dua remaja yang juga anak tiri kepada Nazrin yang masing-masing berusia 14 dan 16 tahun turut ditahan polis di Taman Tun Dr Ismail pada kira-kira pukul 4 petang bagi membantu siasatan terhadap kes itu.
Difahamkan, dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada leher Nazrin menyerupai kesan daripada anak panah. Anak-anak tiri Nazrin dikatakan mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.
Pada 23 Sept pula, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan adik kepada isteri Nazrin bersama suaminya yang berusia 41 tahun di Jalan Dato Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail pada pukul 10.20 malam.
Polis telah menahan enam orang untuk direkod keterangan termasuk isteri serta anggota keluarga Nazrin namun telah dibebaskan selepas siasatan dijalankan ke atas mereka.
Pada 8 Okt, jenazah Nazrin digali semula dari Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara dan dibawa ke PPUM untuk bedah siasat kali kedua selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya menolak permohonan isteri mangsa untuk menangguhkan proses penggalian kubur suaminya itu.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Okt membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan bagi membantu siasatan polis berhubung kes bunuh mangsa itu.
Setakat 10 Nov, Polis Diraja Malaysia masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua Nazrin sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Jenazah Nazrin selamat dikebumikan semula pada 15 Okt di tanah perkuburan yang sama selepas melalui proses bedah siasat kedua selama lapan hari.
Tiga bulan sebelum kematiannya, Nazrin pernah membuat empat laporan polis termasuk berkaitan ugutan bunuh namun semua laporan itu telah ditarik balik Allahyarham.
Hasil siasatan pihak polis mendapati ancaman dalam bentuk panggilan telefon itu dilakukan oleh saudara terdekatnya.
Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat pemula niaga Malaysia.
Cradle Fund di bawah pimpinan Nazrin pernah membiayai syarikat-syarikat pemula niaga baharu yang menyaksikan kejayaan besar, termasuk MyTeksi yang kini dijenama semula sebagai Grab serta imoney.my.
Selama lebih 15 tahun, Nazrin mendedikasikan usaha beliau untuk mempromosikan pembiayaan peringkat awal syarikat permulaan teknologi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!