Jarak bertambah, pemandu kurang, punca tambang Grab meningkat
SHAH ALAM - Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali mengakui perkhidmatan Grab mengalami peningkatan tambang ke atas pengguna berikutan pertambahan jarak mengambil penumpang dan kekurangan pemandu bermula hari ini.
Namun menurutnya, kenaikan itu bukan disebabkan oleh proses yang perlu mereka jalani berikutan perlaksanaan peraturan baharu yang dikenakan oleh Kementerian Pengangkutan ke atas perkhidmatan e-hailing seperti mereka.
“Ia meningkat secara automatik apabila pemandu yang biasa mengambil penumpang dalam jarak antara dua ke tiga kilometer, terpaksa menambah jarak pengambilan itu kepada empat ke lima kilometer bermula hari ini.
“Anggaran peningkatan tambang itu antara 25 peratus perlu ditanggung pengguna, kerana pemandu Grab yang telah punyai lesen PSV (lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam) serta boleh meneruskan khidmat mereka masih tidak ramai, maka apabila kekurangan pemandu, jarak mengambil penumpang juga menjadi jauh.
“Oleh itu, masa menunggu penumpang akan jadi lama dan tambang juga akan menjadi lebih mahal kerana pertambahan jarak apabila pemandu yang jauh akan mengambil penumpang, bukan seperti sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Arif Asyraf berkata, jumlah pemandu Grab yang berjaya melalui segala peraturan yang ditetapkan setakat ini adalah berjumlah 11 ribu berbanding jumlah sebelum ini ada 200,000 pemandu Grab di negara ini.
“Jadi dengan kekurangan pemandu buat masa ini, tidak dapat memenuhi permintaan pengguna sedia ada, dan ia menjadi punca pertambahan masa menunggu dan kadar caj tambang.
“Kesannya, mungkin ada pengguna yang telah menunggu ama untuk perkhidmatan ini, membatalkan tempahan mereka dan menempah sekali lagi dengan harapan ada pemandu yang hampir dapat mengambil mereka. Namun ia tidak berlaku ketika ini,” katanya.
Justeru, pihaknya sekali lagi memohon pihak Kementerian Pengangkutan untuk memberikan tempoh setahun kepada pemandu Grab bagi menyelesaikan segala peraturan baharu yang dikenakan ke atas mereka sebelum boleh meneruskan perkhidmatan.
“Jarak masa yang singkat diberikan, menyukarkan kebanyakan pemandu yang ramai antara mereka melakukan kerja ini secara sambilan, dan terikat dengan tugas hakiki untuk mengambil cuti bagi selesaikan segala proses diperlukan.
“Kemudahan pusat pemeriksaan kenderaan yang terhad juga pada waktu-waktu tertentu seperti hari minggu turut menjadi kesukaran kepada sesetengah pemandu sambilan ini.
“Rasanya setahun itu masa yang paling sesuai untuk kami menyesaikan segala peraturan yang dikenakan. Jika tempoh itu dilanjutkan saya percaya jumlah pemandu akan meningkat dan tidak memberi kesan kepada pengguna sebelum ini,” katanya.
Pihaknya juga bersedia untuk berbincang dengan Kementerian sekiranya diperlukan bagi melihat kembali peraturan baharu itu agar mewujudkan keadaan menang-menang situasi kepada semua pihak.
Pada November yang lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-hailing (seperti Grab, MyCar, MULA) perlu memiliki Lesen PSV (Public Service Vehicles) seperti pemandu teksi sebelum 12 Julai 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!