Falsafah hidup perlu disuburkan
APABILA Naib Canselor meminta Pusat Pengajian saya menawarkan kursus Pengantar Falsafah kepada semua pelajar yang majoritinya berlatar belakangkan kejuruteraan, hati ini sedikit gundah, adakah kursus itu boleh diterima pelajar?
Pun begitu, selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar yang matang dalam mempelajari dan mengaplikasikan ilmu, Alhamdulillah, pihak Senat universiti telah meluluskan pelaksanaan kursus berkenaan bermula September 2019.
Sebetulnya perkataan falsafah adalah berasal daripada perkataan Greek bermaksud love of wisdom atau cintakan hikmah. Ini bermakna mempelajari falsafah merupakan satu usaha yang berterusan untuk mencari kebenaran dengan meneroka rahsia diri, persekitaran dan alam.
Selain itu, falsafah digunakan sebagai alat untuk membantu mengupas pengalaman hidup manusia secara logik serta menganalisis sesuatu isu menerusi hujah-hujah yang munasabah. Mendasari ilmu falsafah akan mengajar kita berfikir dengan kritis, membaca dan menulis dengan lebih teliti menerusi pandangan mata dan hati dengan lebih kritis.
Belajar falsafah juga membantu diri kita menangani sesuatu isu dengan tenang serta matang. Selain itu, membantu individu membina asas-asas yang kukuh serta kerangka kehidupan dengan lebih baik.
Pendek kata, mereka akan lebih bertanggungjawab bagi setiap perancangan dan tindakan serta mempelajari bagaimana membentuk watak-watak yang hebat serta mempunyai daya tahan yang tinggi.
Pada asasnya terdapat empat elemen utama dalam pembelajaran falsafah iaitu: logik (alasan yang munasabah), epistimologi (pencarian ilmu), metafizik (menerima realiti) dan moral (akhlak dan nilai).
Mempelajari disiplin ilmu yang lain tanpa didokong dengan pembelajaran falsafah hanya membolehkan kita berupaya tingkatkan kemahiran dalam bidang itu semata-mata tanpa berupaya mengaitkan diri kita dengan masyarakat dan alam. Apa yang jelas, pembelajaran falsafah ini membantu kehidupan kita supaya tidak mudah dimanipulasi.
Pada hari ini, masih ramai yang belum mendapat penjelasan tentang rahsia kehidupan di dunia ini dan kenapa kita diciptakan? Persoalan seperti bagaimana sepatutnya kita hidup? Kenapa kita sering berbuat salah? Itu adalah antara persoalan yang sering ditanya dalam kehidupan setiap individu. Natijahnya, masih ramai yang tersasar daripada jalan kehidupan yang sebenarnya.
Persoalannya apakah jalan kehidupan yang benar? Menurut falsafah Islam, setiap kebenaran adalah berteraskan kepada al-Quran dan As-Sunnah. Ini bermakna, hikmah kebenaran adalah tidak melampaui batasan wahyu dan sunnah.
Menurut Hamka, agama mengemukakan hati dan falsafah adalah latihan otak. Falsafah tidak akan berhenti selama manusia masih berfikir dan bertanya serta selama batin manusia masih merasa adanya rahsia yang belum diterokai.
Berkaitan hal itu, ALLAH telah berfirman: “Dan di bumi terdapat tanda-tanda (kebesaran ALLAH) bagi orang-orang yang yakin. Dan pada dirimu sendiri, maka apakah kamu tidak memerhatikan? Dan di langit terdapat sebab-sebab rezekimu dan apa yang telah ditakdirkan kepadamu.” (Surah Al-Dhariyat 51:20-22).
Pada hemat saya, walaupun rahsia kehidupan meliputi langit dan bumi yang tiada hujungnya serta begitu luas dan tidak bertepi, hakikatnya kehidupan kita perlu diselarikan dengan agama dan pemikiran.
Bagi mereka yang belajar agama tanpa berfikir akan menjadikan agama mereka sebagai dogma iaitu menerima tanpa bahas dan tidak boleh dibantah.
Bagi mereka yang bijak berfikir tanpa dibaluti dengan agama akan menjadikan mereka lepas bebas tanpa arah tujuan seumpama mengejar fatamorgana.
Apa yang jelas, bagi menyuburkan falsafah hidup, kita perlu bersederhana dalam semua keadaan serta sentiasa berbaik sangka kepada semua orang.
Pendek kata, jika kita mahu hidup dengan aman, kita harus membantu orang lain hidup dengan aman juga. Jika kita ingin disayangi, kita perlu mempelajari untuk menyayangi orang lain dan jika kita ingin hidup gembira, kita juga perlu bahagiakan orang lain.
Apa yang paling penting, kita perlu memaafkan walaupun perit. Ini kerana tanpa memaafkan sampai bila-bila pun kita tidak akan berada di atas garisan ketenangan yang mutlak.
Pembelajaran falsafah ini membantu kehidupan kita supaya tidak mudah dimanipulasi."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!