Piala Datuk Mokhtar Dahari: SMK Tinggi Kajang rangkul gelaran ketiga
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari (PDMD) 2019 buat kali ketiga selepas menumpaskan SMK Seksyen 7 Shah Alam 3-0 pada aksi final di Stadium Arena Majlis Perbandaran Subang Jaya, di sini, malam ini.
Tiga gol SMK Tinggi Kajang masing-masing dijaringkan Muhammad Lukman Hakim Mohd Azli pada minit ke-49 sebelum Muhammad Danish Haikal Haili meledak dua gol pada minit ke-53 dan 56’ sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya pasukan.
SMK Tinggi Kajang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pingat dan piala pusingan manakala SMK Seksyen 7 Shah Alam menerima RM7,000 dan pingat yang disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
SMK Bandar Tasik Puteri pula meraih tempat ketiga selepas menewaskan SMK Tengku Idris Shah 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung terdahulu.
Sementara itu, Pengerusi Kejohanan PDMD, Datuk Emran Kadir berkata PDMD menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Sejak siri ke-5 penganjuran, kejohanan ini telah melahirkan 115 pemain dalam kalangan ramaja yang kini bermain untuk kelab-kelab utama dalam negara ini, “ katanya
Sebagai rekod, kejohanan tahun ini mendapat sambutan hebat dengan menerima seramai 576 pelajar dari 32 pasukan terdiri daripada pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!