Bukti kekuatan luar biasa orang UMNO
PENDANG - Kehadiran orang ramai yang melebihi jangkaan pada mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pendang menunjukkan kekuatan luar biasa orang UMNO di kawasan ini.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, semangat dan kekuatan ini harus dikekalkan dan dipertingkat bagi memastikan perjuangan UMNO dapat diteruskan.
Katanya, ahli UMNO tidak wajar meletakkan diri mereka di zon yang selesa pada ketika ini bagi membolehkan perjuangan dapat diteruskan dengan baik.
"Setahun lalu kita terluka dek kerana kekalahan pada PRU14, namun kini UMNO sudah pun berada di fasa pemulihan dan pengukuhan," katanya ketika berucap di majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pendang di Dataran UMNO di sini semalam.
Hadir sama, bekas Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Suraya, UMNO perlu bangkit demi menyelamatkan Islam dan masa depan orang Melayu yang kian tergugat.
"Berusahalah untuk meramaikan lagi ahli keluarga UMNO bagi memastikan kita terus kuat dan berkuasa. Lebih setahun sejak kepimpinan PH, nasib orang Melayu tidak dibela, kehidupan mereka semakin ditekan dengan kenaikan harga barang," katanya.
Tambah Suraya, UMNO bertanggungjawab dengan kekalahan pada PRU14 lalu dan akan terus berusaha menebus semula kekalahan ini.
"Kita suburkan semula politik silaturahim di antara UMNO dan Pas dan diharapkan jalinan kerjasama ini memberikan manfaat besar kepada masyarakat Melayu Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!