Pinda had umur belia keputusan 'syok sendiri'

Aifaa Zaffan
Aifaa Zaffan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menganggap pindaan had umur belia dari 40 ke 30 tahun yang diputuskan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai keputusan ‘syok sendiri’.

Ketua Pemuda Ikatan Selangor, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz berkata, ia berikutan Syed Saddiq didakwa tidak mengambil kira pandangan pelbagai peringkat melalui persatuan belia di peringkat negeri sehingga nasional terlebih dahulu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa menteri tersebut tergesa-gesa membuat pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 688) yang mengehadkan umur belia kepada 15 hingga 30 tahun, daripada 15 kepada 40 tahun sebelum ini.

“Terdapat pelbagai platform untuk berdiskusi dan berbincang, kenapa perlu tergesa-gesa? Adakah YB (Yang berhormat) menteri ingin mencari populariti dan hanya melaungkan slogan 'youth power'.

“Kami desak Ahli Dewan Negara yang akan bersidang tak lama lagi membuat pusingan 'U' mengenai pindaan demi pembangunan belia di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, golongan belia khususnya di Selangor harus menilai sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak mengambil kira pandangan belia di lapangan.

Katanya, timbul kecelaruan apabila Kerajaan Selangor menerusi kenyataan exconya, menetapkan untuk mengekalkan had umur golongan belia sehingga 40 tahun bagi setiap program pembangunan di negeri itu.

“Jika libatkan program di peringkat kerajaan negeri, kita faham, contoh macam Selangor memang jelas ikut dasar tapi jika mereka berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia mereka kena ikut had umur belia.

Artikel Berkaitan:

“Adakah maksud beliau (menteri) peruntukan di peringkat negeri ikut negeri, Pusat ikut peruntukan Pusat? Makin susah persatuan belia nak mohon peruntukan, nanti pergi Kementerian Belia dan Sukan kena 'reject', esok mohon dengan kerajaan negeri disuruhnya pula ke kementerian“,” katanya.

Dalam pada itu Aifaa turut mempersoalkan sama ada peruntukan pembangunan belia akan ditambah atau dikurangkan selepas ini.

Katanya, jangan disebabkan ingin mengurangkan peruntukan belia, pindaan ini terpaksa dibuat.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kerajaan menurunkan had usia belia daripada 40 kepada 30 tahun adalah muktamad.

Syed Saddiq dilapor berkata perkara itu sebenarnya sudah lama dibincangkan dan dipersetujui sebelum ini.

Katanya, pendirian tegas itu tidak akan berubah dan tetap akan dikuatkuasakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!