Teringin lihat Agong pakai tanjak Almarhum Sultan Ahmad Shah
PEKAN - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyuarakan hasrat ingin melihat suaminya, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Ahmad Shah memakai persalinan Almarhum bapa mertuanya, sempena pertabalan.
Tunku Azizah bertitah, ia bagi mengimbau momen bersejarah 40 tahun lalu, di mana persalinan Diraja tersebut pernah dipakai Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika baginda ditabalkan menjadi Agong ketujuh pada tahun 1979.
Titah baginda lagi, bagi menyempurnakan hasrat itu, baginda sanggup berangkat dari Istana Negara Kuala Lumpur ke Istana Abu Bakar Pekan mengambil koleksi persalinan tersebut.
"Beta ke Istana Abu Bakar pagi tadi untuk mengambil persalinan yang pernah dipakai Almarhum bapa mertua seperti tanjak, persalinan, bengkung dan sampin. Ia dipakai Almarhum ketika baginda berusia 49 tahun.
"Beta simpan semua tu kerana jika suatu hari nanti suami beta jadi Agong, insya-ALLAH saya nak lihat baginda pakai pakaian yang sama. Alhamdulillah selepas 40 tahun suami beta bakal ditabal sebagai Agong dan nak cadangkan tuanku pakai.
"Ia berupa baju, tanjak, sampin dan bengkung. Baju mungkin dah tak muat tapi tanjak dan bengkung serta sampin mungkin beta boleh sesuaikan nanti. Insya-ALLAH itu hasrat yang beta nak cadangkan nanti," titah baginda kepada media, hari ini.
Dari Istana Abu Bakar, Raja Permaisuri Agong mencemar duli berangkat ke sidang media yang berlangsung di Perbadanan Muzium Pahang, di sini hari ini, serta menemui sembilan rakan lama baginda.
Sidang media itu dianjurkan Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal.
Selain daripada itu, Tunku Azizah turut mengambil gambar-gambar lama suaminya dari muzium untuk dimuatkan dalam buku cenderahati sempena majlis pertabalan nanti.
Istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 16 bakal dilangsungkan di Istana Negara pada 30 Julai ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!