Jodoh selepas solo lebih 20 tahun
PARIT - Gelagat dua pasangan pengantin termasuk tiga warga emas yang bersanding pada satu majlis di Kampung Bukit Chupak di sini, hari ini, mencuit hati tetamu yang hadir.
Mana tidaknya kedua-dua pasangan bagai pinang dibelah dua itu kelihatan tersipu-sipu ketika diusik saudara-mara dan sahabat-handai yang hadir memeriahkan majlis persandingan mereka.
Pasangan Idris Yeop Saad, 87 dan Faizah Shadid, 62, serta Mohd Ariff Ahmad, 71 dan Norwati Mohamed, 51, kelihatan berseri-seri di atas pelamin selepas mereka yang juga rakan baik mengambil keputusan untuk bersanding bersama-sama.
Difahamkan kedua-dua pengantin wanita ialah rakan sekampung yang berasal dari Kampung Tua, Lambor Kanan, manakala kedua pengantin lelaki tinggal di Kampung Bukit Chupak, Parit.
Menurut Faizah dia dan suaminya Idris, selamat bernikah semalam di Masjid Bukit Chupak dan bersanding pada hari ini, manakala Norwati pula memaklumkan dia dan suaminya Mohd Arif telah bernikah pada 22 Ogos lalu dan persandingan hari ini adalah persandingan kedua mereka.
Bil telefon cecah RM200 sebulan
Idris yang jua pesara tentera berkata, dia dan isteri berkenalan melalui adik Faizah dan mengambil masa selama lima bulan untuk mengenali hati budi masing-masing.
"Adik dia (Faizah) datang ke rumah temuduga saya tanya betul ke nak kenal kakaknya, mereka bagi gambar bersama juga nombor telefon untuk kami berkenalan dan malam itu juga saya telefon dia.
"Dari situ kami berkenalan kerana isteri saya ini tinggal di Kuala Lumpur dan masa itu sebulan RM200 jugalah duit saya habis untuk top up nak telefon dengan dia," katanya sambil ketawa, ketika ditemui di majlis perkahwinan berkenaan di sini, hari ini.
Faizah pula berkata, selepas kelima-lima anaknya yang bersetuju hubungan itu turut mengajak untuk melihat dan mengenali lebih dekat suaminya yang ketika itu menetap di Parit
"Saya menjadi ibu tunggal sudah lebih 23 tahun dan dalam tempoh itu hati saya tidak terbuka untuk mana-mana lelaki, sehinggalah saya mengenali suami saya ini dan pintu hati saya terbuka untuk bersanding.
"Apa yang membuat saya menerima suami saya adalah kerana dia seorang yang jujur dan saya yakin dia boleh membimbing saya ke syurga selain menyayangi saya, anak-anak dan cucu saya," katanya.
Idris mempunyai enam anak, 23 cucu dan 14 orang cicit, manakala Faizah pula dikurniakan lima anak dan 13 cucu.
Keluar makan bersama kenal hati budi
Satu lagi pasangan pengantin, Mohd Arif dan Norwati ketika ditanya pemberita memaklumkan kedua-dua mereka berkahwin selepas tiga bulan berkenalan dan mendapat persetujuan daripada ahli keluarga masing-masing.
Norwati yang bekerja di Unit Kawalan Keselamatan, Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata, dia menjadi ibu tunggal selama 20 tahun dan menolak lamaran Mohd Arif pada bulan ketiga perkenalan berikutan terlalu awal.
"Saya ingatkan sudah tidak ada jodoh sebab sebab jadi ibu tunggal lebih 20 tahun, tapi bila saya perkenalkan suami saya kepada keluarga emak dan anak-anak suka jadi saya terima dan Alhamdulillah kami bahagia," katanya.
Mohd Arif pula menceritakan sepanjang perkenalan dia dan Normawati sering berjumpa di kedai makan dan pasar raya untuk mengenali diri masing-masing sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga.
"Saya mempunyai lapan anak dan 11 cucu manakala isteri saya mempunyai empat anak dan enam cucu jadi bila mereka boleh terima kami mahu berkahwin saya cukup bersyukur," katanya.
Sementara itu, Adun Belanja, Khairudin Abu Hanifah berkata, majlis berkenaan ditaja pihaknya bagi meraikan kedua-dua pasangan pengantin warga emas berkenaan.
"Saya lakukan ini untuk memberikan mereka kenangan yang tidak boleh dilupakan kerana sebelum ini mereka pernah berkahwin tetapi tiada anak dan cucu, namun hari ini mereka bersanding dan ada anak serta cucu meraikannya bersama-sama.
"Persiapan ini juga dilakukan oleh anak dan cucu mereka masing-masing dan ia cukup bersejarah untuk dikenang mereka termasuk saudara dan rakan-rakan yang hadir," katanya.
Menurutnya persiapan untuk menjalankan majlis berkenaan hanya dilakukan dalam tempoh empat hari tetapi mengambil masa hamper dua minggu untuk memujuk pasangan pengantin untuk mengadakan persandingan.
"Alhamdulillah akhirnya mereka bersetuju dan hari ini kita bersama-sama meraikan hari bahagia mereka termasuk kehadiran Ahli Parlimen Parti, Datuk Mohd Nizar Zakaria," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!