Penangguhan hukuman Wan Ji bertepatan undang-undang
KUALA LUMPUR - Penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap pendakwah, Wan Ji Wan Hussin bertepatan dengan prinsip undang-undang.
Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berkata, ini kerana permohonan penangguhan hukuman apabila terdapatnya rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi adalah biasa dalam kes-kes jenayah.
"Pada kebiasaan, asas permohonan yang dibuat adalah bahawa sekiranya tertuduh mula menjalani hukuman, maka rayuannya akan menjadi sia-sia. Dalam kes Wan Ji, mahkamah tinggi telah menjatuhkan hukuman satu tahun penjara.
"Sekiranya hukuman ini tidak ditangguhkan, Wan Ji akan dipenjarakan dan kemungkinan besar menjalani keseluruhan atau sebahagian besar hukumannya sebelum rayuan didengar di mahkamah rayuan. Maka wujudnya keadaan istimewa yang sesuai untuk membenarkan permohonan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Wan Ji dibenar oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam menangguhkan hukuman penjara setahun atas dakwaan menghasut terhadap Sultan Selangor.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintah terma-terma di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dilanjutkan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Wan Ji dibenar tangguh hukuman penjara]
Syahredzan yang juga seorang peguam berkata, situasi ini berbeza dengan seseorang yang dikenakan hukuman penjara 10 tahun misalnya.
"Walaupun rayuan mungkin mengambil masa lebih daripada setahun untuk dilupuskan, sekiranya rayuan berjaya orang tersebut tidak perlu menjalani baki hukumannya. Dalam situasi ini rayuan tidak boleh dikatakan sebagai sia-sia.
"Prinsip undang-undang yang sama diguna pakai dalam kes Wan Ji di mahkamah sesyen. Pada April 2019, selepas mengenakan hukuman sembilan bulan penjara, hakim mahkamah sesyen Mohd Sabri Ismail telah membenarkan permohonan penangguhan sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.
"Jika Wan Ji dipenjarakan terus, beliau akan selesai menjalani hukuman sebelum rayuan di mahkamah tinggi diputuskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!