Bunuh warga emas: Suspek didakwa tak ada masalah mental

Ong Chok Sing
Ong Chok Sing
A
A
A

SEGAMAT - Penoreh getah yang dipercayai mengamuk bersama sebilah parang sebelum membunuh dua warga emas di sekitar Buloh Kasap, di sini, didakwa tidak pernah mengalami masalah mental.

Kenalan suspek yang enggan dikenali memberitahu Sinar Harian, bapa kepada tiga anak itu kelihatan normal dan sihat seperti sediakala.

Katanya, dia telah mengenali suspek sejak usia kecil lagi kerana membesar bersama di Kampung Sepang Loi, di sini.

“Dari kecil lagi saya dah kenal dia sebab usia kami tak jauh. Dia macam orang biasa dan sampai sekarang tak ada perangai pelik yang kami lihat.

“Kali terakhir jumpa masa raya Aidilfitri dan saya sempat berborak dengan dia, tapi dia tak ada pula cakap benda pelik-pelik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurut pemuda itu, suspek telah berpindah keluar dari kampung berkenaan selepas mendirikan rumah tangga beberapa tahun yang lalu.

“Tapi dia masih balik ke rumah pusaka keluarga sekali sekala sebab ibu dan ayahnya dah meninggal dunia.

“Tapi saya akui sepanjang mengenali suspek, dia memang ada sifat panas baran dan mudah naik angin, tapi masih terkawal. Macam bila berlaku sesuatu yang tak disenanginya, dia mudah marah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, mereka sekeluarga tidak menyangka suspek sanggup bertindak sedemikian kerana sepanjang mengenali penoreh getah itu, dia tidak pernah membuat kacau atau menganggu keselamatan penduduk.

“Senang cerita kami sekampung memang tak ada masalah dengan dia. Kalau jumpa pun dia nampak normal orangnya. Cuma sedikit perangai baran tu sahaja yang semua orang kampung dah kenal,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang juga anak kepada pemilik kopitiam di Buloh Kasap di sini, Ong Chok Sing, 37, berkata, dia dapat melihat dengan jelas suspek memegang bahu mangsa pertama dan menikam warga emas itu sehingga rebah.

“Kejadian jadi huru-hara dan mangsa yang telah berusia cuba lari ke belakang kopitiam, tapi suspek sempat capai tubuhnya dan cederakan beberapa kali.

“Suspek tak menjerit atau marah, kami nampak dia hanya bercakap masa buat tu, tapi tak jelas dia cakap apa. Selepas kira-kira 10 minit, suspek pergi pula ke kedai jual durian dan mulutnya masih berkata sesuatu seolah-olah sedang berbual.

“Dia terus tikam mangsa kedua dan polis tiba. Saya tak pernah kenal suspek, tapi menurut sebahagian pelanggan di sini, dia tak pernah ada masalah dan selalu di premis di sini beli barang atau berjalan-jalan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua warga emas maut diserang lelaki berparang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!