BMW melayang tersangkut tiang papan tanda di DUKE
KUALA LUMPUR - Sebuah kereta jenis BMW yang tersangkut pada celahan tiang papan tanda jalan di KM11.3, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) menghala Damansara tular di media sosial hari ini.
Kejadian berlaku jam 11.51 pagi ini selepas kenderaan dinaiki empat individu termasuk seorang wanita itu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Keramat diketuai PBK II Mohd Anuar Khalid ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi jam 12.33 tengah hari bertindak mengeluarkan kesemua mangsa tersepit dalam kenderaan.
"Mangsa seorang wanita tersepit di kerusi penumpang bahagian hadapan parah manakala tiga yang lain mengalami kecederaan ringan.
"Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menaiki ambulans," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!