Najib terima lantikan bukan sebab kejar jawatan
IPOH - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau menerima pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) bukan untuk mengejar jawatan dalam parti.
Menurutnya, kesediaan menerima pelantikan itu adalah atas rasa tanggungjawab demi keutuhan parti dan rakyat.
"Dalam masa setahun ini, saya telah berusaha memaparkan pandangan berkenaan dasar kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengenai kelemahan mereka dan apa yang tak betul. Ini sebagai penilaian untuk rakyat membuat ketentuan.
"Saya juga telah turun padang berjumpa rakyat untuk mengetahui keluhan mereka. Jadi sesiapa yang nak kan jawatan ini, buatlah kerja.
"Saya pun bukan nak kejar jawatan sangat kerana yang penting apa yang boleh kita sumbangkan dari segi teguran dan pandangan sebagai nilai tambah," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hadir meraikan majlis persandingan anak perempuan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman iaitu Khairul Atiqah Mohd Idris dan pasangannya, Amirul Hafizi Alias di Kelab Golf Diraja Perak.
Hadir sama, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.
Sementara itu, Najib berkata, mana-mana pihak yang tidak senang dan mempertikaikan lantikan itu sepatutnya melihat ia dari sudut kepartian dan bukan peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!