'Kita dah bersatu, tak perlu ikut Tun M'
IPOH - "Kita dah bersatu dah. Apa perlu ikut Tun M?"
Itu reaksi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti Melayu di negara ini menyertai Bersatu, baru-baru ini.
Tajuddin berkata, pelawaan berkenaan sebenarnya sudah pun dilaksanakan lebih awal terutamanya setelah UMNO menjalinkan kerjasama dengan Pas.
Malah menurutnya, kerjasama berkenaan turut dikukuhkan lagi menerusi penganjuran beberapa program setakat ini seperti Melayu Bangkit.
"Kita dah bersatu dah dan insya-ALLAH melalui kesatuan ummah ini lebih ramai orang Melayu akan berikan sokongan dan sertai kita.
"Jadi apa perlunya kalau kita ikut pelawaan Tun M? Bila rasa terancam? Yang pecah belahkan Melayu, dia. Yang tubuhkan parti Bersatu dan bekerjasama dengan musuh selama ini iaitu DAP, dia.
"Dia (Tun M), dah buka kota pertahanan politik orang Melayu. Kuasa orang Melayu yang selama ini telah berjaya dipecahkan," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri, Pemuda, Wanita dan UMNO Bahagian Gopeng di Bangunan UMNO Negeri Perak, petang tadi.
Perwakilan mesyuarat berkenaan turut dikejutkan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang difahamkan berada di Ipoh, hari ini.
Sementara itu Tajuddin berkata, pelawaan Dr Mahathir itu dilihat tidak lebih daripada usaha untuk memperbetulkan semula semua perkara yang telah dimusnahkannya.
"Ibarat pinggan jatuh berderai, nak dibetulkannya. Tidak, kita bukan sombong, tetapi ini soal politik.
"Sebagai pemimpin, jangan lurus bendul dan mudah percaya hingga terpedaya seperti PRU14 lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!