Tentera Israel tembak kepala kanak-kanak Palestin
RAMALLAH - Seorang kanak-kanak Palestin menjadi mangsa terbaharu peluru hidup tentera Israel di Semenanjung Gaza.
Abdulrahman Shtewi, 10, cedera parah selepas ditembak di bahagian kepala semalam.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, mangsa dalam keadaan kritikal ketika dikejarkan ke hospital.
Mangsa ditembak semasa tunjuk perasaan membantah pendudukan rejim Zionis di perkampungan Kafr Qaddum di Nablus.
Penduduk kampung berkenaan mengadakan protes setiap Jumaat dan tentera Israel menggunakan kekerasan bagi menyuraikan tunjuk perasaan.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 33 penduduk Palestin cedera semasa tunjuk perasaan 'Great March of Return' di sempadan Gaza-Israel selepas solat Jumaat.
Protes mingguan itu tercetus sejak 30 Mac tahun lalu sebagai membantah kepungan 12 tahun Zionis ke atas wilayah Gaza serta menuntut hak untuk pulang ke kampung halaman yang dirampas pada 1948. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!