Malaysia komited salur bantuan ke Indonesia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ketika meninjau di Masjid Terapung Palu yang terjejas akibat gempa bumi dan Tsunami 28 Sept lalu. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof ketika meninjau di Masjid Terapung Palu yang terjejas akibat gempa bumi dan Tsunami 28 Sept lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA PALU, SULAWESI TENGAH - Malaysia terus komited menyalurkan bantuan kepada rakyat Indonesia yang terjejas akibat bencana alam atas semangat Asean dan negara serumpun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, hubungan kedua buah negara yang ‘bagaikan aur dan tebing’ itu sentiasa memerlukan satu sama lain, apatah lagi, ketika ini republik itu sedang diuji dengan bencana alam sejak kebelakangan ini.

"Komitmen itu saya zahirkan kepada Menteri Agama Indonesia Lukman Hakim Saifuddin ketika Mesyuarat Menteri Agama Asean kali ke-18 di Brunei, minggu lepas.

"Ia disambut baik oleh mereka (Indonesia) dan terasa terhutang budi dengan kita, sekali gus terus memperkukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya ketika ditemui di perkampungan Balaroa di sini hari ini.

Mujahid yang dalam rangka lawatan dua hari ke Kota Palu yang bermula hari ini turut meninjau kawasan terjejas seperti perkampungan Petobo dan sekitar Pantai Talise dengan diiringi Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid.

-Mujahid berkata selain menyediakan perkampungan ummah, pihaknya turut merancang untuk menambah baik masjid yang terjejas akibat bencana itu.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa masjid di sekitar Kota Palu yang rosak dan perlu diperbaiki segera. Di Kota Palu sendiri, masjid antara lokasi penting untuk masyarakat berkumpul serta melakukan aktiviti ibadah, memang menjadi matlamat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) khasnya bagi memastikan keselesaan ini terus dijaga," katanya.

Perkampungan Ummah yang menelan kos RM1 juta dilengkapi 100 buah rumah, masjid, dapur umum, pompa (perigi) air serta kawasan permainan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah sebahagian daripada bantuan RM2.3 juta yang dikelola Mapim bersama Jakim untuk disalurkan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

Pada 28 September, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter yang berpusat di timur laut Donggala menggoncang Palu dan Donggala, Sulawesi Tengah yang disusuli dengan tsunami setinggi tiga meter.

Kejadian gempa bumi dan tsunami besar yang melanda Pulau Sulawesi itu mengorbankan lebih 2,000 penduduk dengan mereka yang hilang dianggarkan berjumlah lebih 152,000 orang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!