Misi menyelamat penuh debaran dalam Crawl

Antara babak dalam filem Crawl
Antara babak dalam filem Crawl
A
A
A

FILEM yang menyaksikan pertembungan antara manusia dan haiwan liar sering menjadi pilihan produksi luar untuk ditayangkan di seluruh dunia.

Kebiasaannya, haiwan liar yang dipilih adalah jerung, anakonda ataupun piranha.

Bagaimanapun kali ini, produksi Hollywood iaitu Ghost House Pictures dan Raimi Productions mempertaruhkan kisah survival dua manusia menentang sekumpulan buaya liar.

Filem Crawl secara ringkasnya mengisahkan Haley, seorang wanita yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang perenang.

Haley dilatih sendiri oleh ayahnya, Dave, yang juga menjadi antara pendorong kuat buatnya. Namun ada peristiwa yang membuatkan hubungan mereka renggang.

Suatu hari ribut taufan telah melanda Florida dan kebanyakan penduduk telah diarahkan berpindah. Namun Haley nekad kembali ke rumah untuk mencari bapanya.

Bagaimanapun dalam cubaannya itu, dia terperangkap dalam rumah yang banjir dan mendapati dirinya perlu melawan sekumpulan buaya ganas.

Filem yang diarahkan oleh Alexandre Aja itu, menampilkan barisan pelakon seperti Kaya Scodelario, Barry Pepper, Ross Anderson dan Anson Boon.

Artikel Berkaitan:

Antara babak dalam filem Crawl
Antara babak dalam filem Crawl

Sejujurnya, perjalanan filem ini digarap dengan mudah tanpa plot twist yang tidak terjangka.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada kru produksi dan Aja sendiri yang bijak memanipulasi trik kamera, agar penonton merasa resah untuk mengetahui nasib Haley dan Dave yang terperangkap di bawah rumah dan usaha Haley untuk menyelamatkan diri dan ayahnya.

Bukan itu sahaja, kesan khas dan teknik visual yang cantik dalam mempotretkan buaya itu juga harus dipuji. Anda ibaratnya melihat beberapa ekor buaya yang benar-benar hidup walau pada hakikatnya, ia dihasilkan dengan menggunakan kepakaran dan komputer.

Kekemasan gerak kerja kamera dan grafik ini juga turut dibantu dengan solekan kesan khas yang begitu hidup. Malah penulis sendiri ada beberapa kali menutup mata kerana tidak sanggup melihat babak-babak ngeri kesan kerakusan sekumpulan buaya ini.

Berbalik kepada jalan cerita, pada pandangan penulis, Crawl menampilkan sebuah jalan cerita yang santai dan ada sedikit kelemahan.

Perjalanan filem ini terlalu mudah contohnya mengenai bagaimana buaya tersebut boleh berada berhampiran dengan kawan perumahan.

Antara babak dalam filem Crawl
Antara babak dalam filem Crawl

Malah anda juga akan mengetahui mengapa buaya-buaya tersebut bertindak ganas dan sejujurnya penulis sudah boleh menjangka jawapannya dari awal.

Namun kerja kamera yang kemas dan gabungan kesan khas yang baik menjadikan penonton tidak senang duduk serta turut berasa cemas sepanjang menonton filem ini.

Terasa seolah-olah kita sama-sama terperangkap di dalam banjir dan ribut taufan serta bergelut untuk menyelamatkan diri.

Ditambah pula dengan lakonan yang baik oleh para pelakonnya, menjadikan jalan cerita filem ini seperti benar-benar berlaku.

Secara keseluruhan, ia masih sebuah filem yang berbaloi untuk ditonton dan bagi anda yang mahu mengetahui apakah yang berlaku kepada Haley dan Dave, jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam.

Selain itu, bagi anda yang sudah menonton Crawl, jangan lupa sertai peraduan filem ini di akhbar Sinar Harian, yang disiarkan hari ini sahaja.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!