Lagi protes ganas landa Hong Kong
HONG KONG - Ribuan penunjuk perasaan di Hong Kong hari ini menyertai demonstrasi baharu sebagai membantah kehadiran peniaga cina di bandar sempadan.
Protes di bandar Sheung Shui tidak jauh dari bandar Shenzhen itu pada mulanya diadakan secara aman, namun bertukar ganas apabila pertempuran tercetus antara kumpulan penunjuk perasaan dan pihak berkuasa.
Polis dilaporkan terpaksa menggunakan penyembur lada terhadap peserta protes yang bertindak membaling pelbagai objek termasuk payung dan serbuk tidak diketahui ke arah mereka.
Sheung Shui menempatkan puluhan farmasi dan kedai kosmetik yang sangat popular dengan peniaga dari Tanah Besar China yang mendapatkan pelbagai barangan di Hong Kong tanpa dikenakan cukai jualan dan menjualnya semula di seberang sempadan.
Gambar yang menjadi tular di media sosial menunjukkan beberapa peserta protes menerima rawatan akibat kecederaan dialami ketika pertempuran ganas tersebut.
Protes yang bermula dengan bantahan rang undang-undang antiekstradisi sejak Mac lalu telah berlarutan hingga kini dengan siri protes anti-Beijing.
Kumpulan penunjuk perasaan itu juga merancang untuk mengadakan protes baharu di bandar Sha Tin yang digelar sebagai Wilayah Baru antara Hong Kong dan sempadan China. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!