Penumpang e-hailing di KL mengeluh tambang naik
KUALA LUMPUR - Walaupun tempoh masa bagi pemandu e-hailing memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) telah dilanjutkan selama tiga bulan bermula Jumaat, beberapa penumpang e-hailing di Lembah Klang mengeluh kerana berdepan dengan kenaikan tambang.
Beberapa orang penumpang hari ini mendakwa kadar caj telah naik sebanyak RM10 daripada biasa dan mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan pemandu.
Sebelum ini, beberapa syarikat e-hailing telah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penumpang membayar caj yang lebih tinggi berikutan tempoh akhir untuk mendapatkan PSV berakhir pada Jumaat dan pemandu yang tidak mempunyai lesen PSV tidak lagi dibenar untuk menyediakan perkhidmatan.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tempoh akhir itu akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi.
Aishah Abdul Rahim, yang menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap hari, berkata tambang Grabnya telah meningkat sebanyak RM10 jika menaiki Grab dari rumahnya di Kampung Datuk Keramat ke tempat kerja di Jalan Tun Razak.
"Jarak dari rumah saya ke pejabat hanya kira-kira lima kilometer dan biasanya tambangnyha ialah belanja sekitar RM8. Tetapi semalam, saya terpaksa membayar RM18, " kata eksekutif berusia 23 tahun yang menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap hari.
Aishah menambah bahawa dia terpaksa mencuba tiga kali sebelum mendapatkan pemandu dan perlu menunggu lebih daripada 10 minit, sedangkan sebelum ini dia hanya mengambil masa tiga hingga empat minit.
Pereka grafik yang dikenali hanya sebagai Amelia mendakwa bahawa tambang biasanya juga meningkat sebanyak RM10 untuk perjalanan dari Bangsar ke pejabatnya di Bukit Bintang dan dia perlu menunggu selama 20 minit untuk mendapatkan pemandu.
"Sebagai penumpang, saya terpaksa menerimanya, kerana jika tidak, saya perlu mencari pilihan lain untuk ke tempat kerja. Saya harap isu ini tidak berterusan, " katanya sambil mengeluh.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut berkata beliau belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan tambang, tetapi ada aduan yang diterima mengenai kekurangan pemandu e-hailing.
Di Melaka, seorang penumpang tetap Grab, Muhammad Zakiyudin Yusof, 30, berkata tidak berlaku kenaikan tambang di negeri ini dalam tempoh dua hari ini dan dia membayar kadar tambang yang sama.
"Setakat ini, kadar tambang masih sama, saya masih membayar kurang daripada RM10 seperti sebelum ini," kata pengurus kedai runcit yang menggunakan perkhidmatan itu dari Melaka Raya ke Aeon Bandaraya Melaka setiap hari.
Seorang penjawat awam yang berpangkalan di Johor Bahru, Nur Aqeela Arbaen, 27, meluahkan rasa lega kerana dia tidak berdepan kenaikan tambang di kawasannya sambil berkata tambang hanya akan naik pada waktu puncak, yang dianggapnya perkara biasa.
"Semasa di luar waktu puncak,tambangnya hanya RM5, tetapi pada waktu puncak, tambangnya boleh melonjak sehingga RM10. Pada masa ini, tiada berlaku kenaikan tambang dan tambangnya masih M5 untuk ke ;pejabagt saya, " katanya.
Di Terengganu, pemandu Grab sepenuh masa, Mohd Faez Mohd Fozi berkata tambang di negeri ini kekal stabil kerana banyak pemandu telah mendapat lesen PSV dan mematuhi peraturan.
"Permintaan di Terengganu tidak sama seperti di Lembah Klang. Oleh itu, masalah di Lembah Klang tidak berlaku di Terengganu, " katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!