Solat hajat bantah projek kuari batu kapur
BALING - Pondok agama sekitar Baling dan Kulim melakukan solat hajat dan bacaan surah Yasin setiap malam sebagai ikhtiar demi menyelamatkan tanah penduduk dan Gunung Pulai daripada diambil bagi projek kuari batu kapur.
Pengerusi Majlis Bertindak Bantah Operasi Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud berkata, bacaan surah Yasin dan solat hajat itu turut dilakukan penduduk sekitar Gunung Pulai bermula Isnin lalu.
Menurutnya, antara yang terlibat melakukan solat hajat dan bacaan Yassin ialah Pondok Misbah Al Falah, Lanai, Pondok Penanti, Pondok Sungai Karangan dan Pondok Sungai Limau.
"Segala urusan ini diserahkan kepada ALLAH setelah pelbagai cara yang mengikut prosedur dilakukan penduduk bagi menyelamatkan tanah dan Gunung Pulai.
"Kami tidak akan putus asa, penduduk akan tetap mempertahankan tanah-tanah dan gunung di sini," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Tambahnya, tiada wakil pemimpin kerajaan datang bertemu penduduk sepanjang tahun ini walaupun isu ini melibatkan isu nyawa dan keselamatan penduduk.
Beliau berkata, melalui solat hajat itu, pemimpin negeri diharap terbuka hati untuk membatalkan pengambilan tanah bergeran milik lebih 100 penduduk yang akan bermula Isnin ini.
Untuk rekod pada Mac 2018 sebanyak 29 lot tanah milik lebih 100 penduduk diwartakan bagi pengambilan jalan operasi kuari dan usaha berkenaan diteruskan kerajaan baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!