Kedah bergaya atasi Perak
KEDAH mempamerkan kebangkitan menakjubkan untuk menewaskan Perak 4-2 bagi aksi Liga Super 2019 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Aksi yang diibaratkan sebagai pra final Piala FA 2019 bagi kedua-dua pasukan ini pada 27 Julai depan mempamerkan aksi bertenaga apabila saling menyerang balas pada 10 minit perlawanan bermula.
The Bos Gaurus terlebih dahulu berada di hadapan 0-1 hasil tandukan padu Shahrul Saad pada minit ke-28 hasil sepakan sudut oleh Firdaus Saiyadi.
Bagaimanapun gol penyamaan yang diburu oleh Lang Merah akhirnya muncul pada minit ke-39 hasil tolakan mudah N Thanabalan yang menyempurnakan lorongan Fernando Ortega untuk kedudukan 1-1.
Gol tersebut berjaya menyemarakkan semangat tuan rumah dan hasilnya mereka berada di hadapan 2-1 pada minit akhir separuh masa pertama menerusi tandukan Renan Alves selepas menerima hantaran sepakan sudut oleh Edgar Bernhardt.
Pelawat cuba bangkit pada minit ke-60 melalui sepakan percuma Ronaldo Silva namun percubaan terusnya berjaya ditepis keluar penjaga gol Kedah, Abd Hadi Abd Hamid.
Asakan berterusan oleh Perak membuahkan hasil apabila memperolehi penalti pada minit ke-78 selepas bola terkena tangan Shakir Hamzah.
Penyerang Perak, Ronaldo mudah menjaringkan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 2-2 bagi memastikan pelawat tidak berputih mata pada perlawanan tersebut.
Namun tuan rumah memadam impian pelawat untuk membawa pulang satu mata selepas Fernando bijak menguis masuk hantaran Shakir pada minit ke-88 untuk kedudukan 3-2.
Lang Merah mengesahkan kemenangan milik mereka apabila Fernando sekali lagi mencetak gol pada minit ke-94 hasil serangan pantas bagi keputusan penuh 4-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!