'Mungkinkah ini pesanan terakhir saya'
SHAH ALAM - Pendakwah bebas, Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 44, sebelum ini disahkan menghidap kanser limfoma pada 31 Januari 2017.
Sejak diagnosis menghidap kanser itu, berat Mohamed Hanafiah daripada 130 kilogram (kg) menjadi 57 kilogram, kesan daripada pelbagai proses rawatan dan kimoterapi.
Dugaan Mohamad Hanafiah tidak berakhir di situ dan lebih menyedihkan, doktor yang merawatnya memberitahu hayatnya akan bertahan selama setahun iaitu pada tarikh 20 Januari 2018 beliau akan bertemu Maha Pencipta.
Bagaimanapun, selepas setahun, kuasa ALLAH mengatasi segalanya dan sehingga ke hari ini Mohamed Hanafiah masih diberi kesempatan bernafas di muka bumi ALLAH ini.
Melalui ceramah terbarunya di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu dan dimuat naik di laman Youtube miliknya Calipha Channel bertajuk, Mungkinkah ini pesanan terakhir saya: Ustaz Hanafiah Malek, beliau menceritakan apa yang berlaku sebaik disahkan menghidap kanser limfoma itu.
“Saya dah tak cukup masa, tuan-tuan. Doktor sahkan saya kena kanser pada 31 Januari 2017. Selepas saya balik umrah, saya punya jadual agak padat di Johor. Balik dari Johor pada 31 Januari, saya jumpa doktor dan kena tahan di wad. Saya disahkan menghidap kanser. Pembedahan terpaksa dilakukan keesokannya.Berat saya dari 130 kg hingga 57 kg.
“Dibelah atas dada hingga pusat dan dikeluarkan ketumbuhan yang seberat 1 kg. Usus pun dah terkena kanser. Terpaksa dipotong 1.4 meter dan merebak dalam salur darah. Doktor pesan lakukan kimoterapi dengan segera.
“Lepas doktor periksa berkali-kali, ada sahabat saya seorang doktor berkata, ustaz, bersiap sedia dengan perkara yang paling buruk. Berdasarkan pengalaman doktor, saya hanya ada masa kurang daripada setahun. Sebab benda itu terlalu pantas merebak. Doktor kata jangkaan 20 Januari 2018 saya akan pergi bertemu dengan ALLAH,” katanya sebak.
Sambil memanjatkan rasa syukur selepas terus diberikan kesempatan bernafas hingga ke hari ini, Mohamad Hanafiah dengan rasa rendah diri mengakui mungkin kerana ALLAH memberikan lebih masa buatnya untuk bertaubat.
“Tetapi mungkin ada dosa saya yang ALLAH belum ampunkan, ALLAH masih bagi ruang untuk saya bertaubat. Mungkin berkat doa orang ramai, Alhamdulillah sampai ke hari ini saya dapat bertemu dengan tuan-tuan dan puan-puan.
“Alhamdulillah sebagai pesanan, mungkin pesanan yang terakhir saya, saya nak berpesan jangan main-main dengan masa. Jangan buang masa, jangan sia-siakan masa yang ALLAH berikan kepada kita. Sebab masa akan berhenti bila nafas kita berhenti. Ketika itu kita tidak boleh buat apa-apa amalan lagi.
“Jangan main-main dengan masa. Selagi ada tenaga datang ke masjid. Selagi ada tenaga solat berjemaah. Selagi ada usaha jangan tinggal berbuat baik pada ibu dan ayah serta sesama manusia. Saya tidak pasti saya dapat bertemu tuan-tuan, puan-puan pada tahun hadapan,” katanya.
Ceritanya, sebaik disahkan menghidap kanser berkenaan, perkataan pertama yang keluar dari mulutnya adalah ucapan syukur Alhamdulillah kerana menerima dugaan sebesar itu.
“Bila doktor beritahu kanser, saya sebut Alhamdulillah, terima kasih ALLAH. Dalam berjuta-juta manusia, Kau pilih aku menerima hadiah sebesar ini.
“Saya buat sujud syukur. Sebab bukan semua hadiah daripada ALLAH, ALLAH bungkus dengan bungkusan yang cantik. Adakala ALLAH memberi hadiah kepada hambanya dengan bungkusan yang dipanggil musibah. Bila dibuka hadiah tersebut, baru kita jumpa hikmah yang sangat indah,” katanya.
Sebaik membuat sujud syukur, beliau terus teringat sepotong ayat al-Quran, surah Ibrahim ayat tujuh yang bermaksud, ‘barang sesiapa yang bersyukur ALLAH akan tambahkan nikmat. Barang sesiapa yang kufur, azab ALLAH amatlah pedih’.
“Bila saya sebut Alhamdulillah, ALLAH akan tambah nikmat. ALLAH bukan Tuhan yang berbohong. Percayalah. Yakinlah bulat-bulat. ALLAH akan tambah nikmat. Nikmat apa yang saya dapat? Nikmat ketenangan. Tenang jiwa, damai di hati menunggu tarikh untuk mati, pergi bertemu Illahi.
“Jadi apa saya buat, saya syukur sahajalah. Bangun pagi saya ucap Alhamdullilah. Seolah-olah kita akan hidup 1,000 tahun lagi. Hari demi hari menanti 20 Januari 2018, saya bersiap sedia sebelum dijemput Illahi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!