Mengundi 18 tahun iktiraf peranan belia
KUALA LUMPUR - Umur mengundi pada pilihan raya yang diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun akan memberi peluang kepada generasi muda untuk sama-sama menentukan masa hadapan negara.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, selain itu ia juga selari dengan amalan demokrasi di negara lain yang menetapkan umur pemilih pada 18 tahun.
"Hak untuk mengundi wajar diberi kepada mereka yang sudah berumur 18 tahun dan ia mengiktiraf peranan mereka untuk negara.
"Sebagai badan induk pertubuhan belia di Malaysia, MBM menyokong sepenuhnya usaha kerajaan meminda had umur pemilih dari 21 tahun kepada 18 tahun kerana sudah sampai masanya anak muda di negara ini diberi hak serupa seperti warganegara Malaysia yang lain," katanya.
Jufitri mengulas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 mengenai cadangan had umur mengundi diturunkan dari 21 kepada 18 tahun yang dibentang untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat 4 Julai baru-baru ini.
RUU bagi meminda Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan berkenaan dibentang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan cadangan pindaan itu akan membolehkan lebih ramai warganegara Malaysia layak mengundi dan memilih kerajaan selaras dengan sistem demokrasi yang progresif.
Beliau berkata, hanya sembilan negara di dunia yang masih meletakkan umur mengundi pada umur 21 tahun manakala majoritinya telah menurunkan umur mengundi antara 16 tahun hingga 18 tahun.
"Maka wajarlah Malaysia sebagai sebuah negara yang sudah mempunyai demokrasi yang matang untuk turut sama mengambil langkah menurunkan umur pemilih seiring dengan amalan negara lain.
MBM ketika ini sudah mula mengorak langkah dengan mewujudkan program Sekolah Politik MBM sebagai pendedahan kepada pendidikan demokrasi kepada belia khususnya ahli-ahli di dalam persatuan belia.
Calon Ahli Parlimen Belia Malaysia sesi 2019-2021, Anwar Ridhwan Muhammad Azhari, 23, berkata kerajaan perlu mempersiapkan generasi muda dengan pendidikan demokrasi seawal di peringkat sekolah agar ia mampu dimantapkan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.
"Secara peribadi saya menyokong usaha menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Namun kita perlu lihat perkara ini secara menyeluruh agar golongan belia lebih cakna mengenai sistem demokrasi dan situasi politik negara.
"Pendidikan yang memberi pendedahan kepada perjalanan demokrasi dan pilihan raya di negara ini hendaklah diberikan seawal mungkin agar belia yang akan menjadi pemilih kali pertama pada pilihan raya akan datang sudah bersedia dan mampu untuk menjalankan amanah dengan penuh rasa tanggungjawab," jelasnya.
Bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Farid Kamaruddin, 31, berpendapat penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun itu amat wajar dan ia akan lebih relevan sekiranya ditambah baik dengan proses daftar pengundi perlulah turut dibuat secara automatik.
"Saya kira landskap politik di Malaysia sudah bersedia dengan perubahan ini. Jika difikirkan soal kebersediaan warga belia di negara ini, pandangan saya kalau bukan sekarang masa yang sesuai, bila lagi?," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!