Perubahan had umur mengundi perlu seiring sistem pendidikan

Md Shukri Shuib
Md Shukri Shuib
A
A
A

ALOR SETAR - Menurunkan had umur calon pilihan raya kepada 18 tahun bakal mengubah polarisasi politik negara ini, termasuk sistem pendidikan yang harus seiring dengan perubahan itu.

Penganalisis politik, Md Shukri Shuib berkata, soal layak atau sebaliknya sebagai calon pada usia 18 tahun agak sensasi, dan akan dipersoalkan sama ada mereka matang membuat keputusan atau sebaliknya.

Menurutnya, ia juga mengukur tahap pemahaman calon muda itu berkaitan soal pentadbiran serta sosialisasi awam, yang banyak bergantung kepada pendidikan.

“Jika mereka masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi calon, kita bakal saksikan ahli parlimen termasuk menteri kalangan mahasiswa, di mana mereka perlu imbangi antara kehadiran ke kuliah atau parlimen, mana lebih utama?” katanya, kepada Sinar Harian.

Md Shukri berkata, ia memerlukan satu perubahan peraturan dan sistem sedia ada kepada mendepani cabaran selepas keputusan Parlimen itu dikuatkuasakan.

“Banyak pola perubahan di persekitaran peraturan, pekeliling dan perundangan membabitkan sistem dan institusi di negara ini perlu dilakukan, jika kerajaan membenarkan usia 18 tahun menjadi pengundi mahupun calon,” katanya.

Menurutnya, menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun juga perlukan kajian komprehensif.

“Ini bermakna satu proses sosialisasi politik dan pemahaman terhadap struktur institusi dan sistem politik negara harus segera diperkemaskan kalangan remaja. Malah seawal usia remaja harus diberikan pendidikan asas sistem dan institusi dari aspek politik, parti, kerajaan, parlimen, hak ideologi demokrasi serta pilihan raya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri berkata, bukan sahaja soal pilihan raya, undi atau calon, sistem dan institusi termasuk ideologi negara harus diterapkan lebih awal sebelum mereka menginjak 18 tahun.

“Saya jangkakan persekitaran kampus menjelang PRU15 akan ‘panas’ dan menjadi pusat jentera parti berkempen. Universiti harus bersedia dari sekarang untuk saksikan pertembungan antara pentadbiran pendidikan dan kepolitikan parti,” katanya.

Menurutnya, Malaysia dan rakyatnya juga harus bersedia secara holistik berdepan perubahan mendadak dari aspek gaya politik yang tidak lagi sama seperti pilihan raya sebelum ini.

“Saya agak khuatir dengan cadangan kerajaan ini, namun sebagai rakyat kita perlu terima apa yang diputuskan 222 ahli parlimen. Kita harus fokus kepada sistem pendidikan dan institusi jika mahu Malaysia kekal stabil, jika gagal, negara ini tidak akan sama seperti hari ini, akan wujud kecelaruan asas dan dasar masa depan,” katanya.

Katanya, tugas berat turut menanti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), polis serta petugas keselamatan termasuk universiti bagi mendepani perubahan itu kelak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!