Dokumentasikan insiden di Pasir Gudang
KUALA LUMPUR - Kes pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor pada Mac lepas dan insiden pencemaran gas udara tiga bulan selepas itu yang menjejaskan kesihatan lebih 4,000 penduduk termasuk kanak-kanak menimbulkan kegusaran pelbagai pihak terutama penduduk di kawasan perindustrian itu.
Pelbagai gesaan dilontarkan pihak kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan terhadap kerajaan Johor untuk mencari penyelesaian agar ia tidak berulang termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengeluarkan kenyataan supaya tindakan tegas dikenakan terhadap dalang pencemaran alam itu.
Berdasarkan pengamatan wartawan dan jurukamera di Pasir Gudang beberapa hari lalu, antara faktor mengakibatkan kesihatan penduduk terjejas kerana tiada zon penampan atau kawasan lapang yang efektif memisahkan kawasan perindustrian dan penempatan.
Tinjauan mendapati wujud sebuah taman perumahan sangat dekat dengan kawasan perindustrian berat bahan kimia.
Lokasi penempatan dan perkilangan itu hanya dipisahkan oleh jalan raya yang digunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk lori muatan berat.
Tidak mustahil penduduk di situ akan berhadapan risiko kesihatan sekiranya berlaku ‘serangan’ pencemaran sekali lagi.
Mengulas hal itu, pensyarah dan pakar perancangan bandar serta pengangkutan, Prof Madya Dr Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein berkata, kejadian malang menimpa penduduk di Pasir Gudang perlu didokumentasikan sebagai garis panduan kepada kerajaan serta agensi terlibat dalam perancangan bandar untuk mengelak perkara sama berulang sama ada di daerah itu mahupun di tempat lain.
“Sekiranya hasil forensik menjumpai unsur kelemahan dari segi penguatkuasaan, maka prosedur operasi standard (SOP) penguatkuasaan lebih ketat serta efektif perlu dihasilkan dengan menambah baik SOP sedia ada.
"Malah, akta berkaitan perlu ditambah baik supaya benar-benar menghalang salah laku industri.
“Secara dasar Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memerlukan sebarang perancangan mestilah mengambil langkah sepatutnya untuk memperelok persekitaran hidup dan alam sekitar,” katanya.
Zon penampan
Pengarah Pusat Inovasi Perancangan dan Pembangunan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia itu berpendapat, minimum jarak zon penampan adalah 500 meter antara penempatan dan perkilangan.
“Jarak atau kelebaran itu perlu lebih besar bergantung kepada kategori industri sama ada ringan, sederhana atau berat dan jika banyak kilang kategori berat maka penempatan perlu lebih luas dan jauh daripada orang ramai.
"Zon penampan adalah kawasan lapang bertujuan mengasingkan kawasan industri berisiko tinggi yang boleh mengganggu dan memberi kesan buruk kepada orang ramai serta alam sekitar daripada pelbagai bentuk pencemaran.
“Selalunya zon penampan di tanam dengan pokok-pokok bagi memberi kesan hijau dan untuk menapis pencemaran sekali gus mengurangkan risiko bahaya kepada penduduk,” katanya.
Namun, beliau berkata, dalam konteks perbandaran di Pasir Gudang amat sukar untuk menyediakan atau mencari tapak sesuai dijadikan zon penampan berikutan perbandaran tersebut telah tepu bina dengan taman perumahan, pusat komersial, pusat bandar dan industri perkilangan.
“Maka, untuk mencari dan menyediakan zon penampan adalah satu perkara agak sukar kerana mungkin melibatkan kos tinggi seperti terpaksa melibatkan pengambil alihan tanah.
“Sehubungan itu, semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi terlibat perlu mencari jalan penyelesaian dan kaedah paling sesuai untuk mengatasi isu sebegini pada masa hadapan,” jelasnya.
Muhammad Zaly Shah berkata, pihak terlibat juga perlu membuat perancangan untuk mencari solusi paling efektif daripada semua aspek sekali gus mengelak panik dan dipolitikkan pihak tertentu.
“Apa pihak berkuasa perlu lakukan adalah mengenal pasti kaedah untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.
"Bagi jangka pendek, kerajaan, pihak berkuasa dan agensi terlibat perlu mengurangkan kegusaran penduduk dengan sentiasa memberi maklum balas terkini.
“Jangka sederhana pula, agensi penguatkuasaan perlu kenal pasti punca sebenar pencemaran serta aktiviti forensik perlu dilaksanakan seterusnya tindakan tegas kepada mereka terlibat.
“Ia perlu didokumentasikan sebagai piawaian atau SOP dan diguna pakai oleh semua agensi dalam menguruskan bencana termasuk agensi perancangan bandar,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!