Kematian suatu perjalanan

A
A
A

KEMATIAN bukanlah suatu yang ditunggu-tunggu oleh manusia. Namun mati itu pasti.

Cuma kita sebagai hamba-Nya tidak tahu bilakah malaikat maut akan datang untuk mencabut nyawa kita. Ia kekal menjadi rahsia ALLAH SWT.

Apa yang perlu kita lakukan ialah membuat persediaan bagi menghadapi kematian.

Lazimnya apabila kematian berlaku kepada ahli keluarga, kita menangis dan berdukacita.

Perasaan dukacita itu bukanlah suatu yang abnormal. Malah sebahagian daripada kita beranggapan sudah putus hubungan antara waris yang ditinggalkan dengan si mati.

Mungkin benar hubungan biasa yang dilakukan seperti bercakap dan melakukan suatu tindakan bersama tidak dapat lagi dilakukan namun hubungan tersebut masih boleh dijalinkan dalam bentuk yang berlainan pula.

Umpamanya bagi menguruskan penyempurnaan jenazah adalah lebih diutamakan ahli waris yang menguruskannya termasuklah memandikan jenazah, mengkafankannya, mengimamkan solat jenazah dan mengkebumikan jenazah tersebut.

Oleh hal yang demikian persediaan hendaklah dibuat bagi kita mempelajari bagaimana menguruskan jenazah. Ilmu itu sangat penting sekiranya kematian berlaku kepada saudara mara terdekat kita.

Artikel Berkaitan:

Acapkali kita lihat ahli waris lebih melayan tetamu berbanding memberi khidmat terakhir kepada si mati. Malah yang lebih menyedihkan pula harta yang ditinggalkan si mati pula digunakan untuk menjamu tetamu.

Tanpa sedar sebenarnya mereka telah memakan harta anak-anak yatim sekiranya si mati meninggalkan anak-anak kecil.

Hukum memakan harta anak yatim adalah jelas haram. Ini disebabkan apabila seseorang itu telah meninggal dunia pemilikan harta gemulah sudah berpindah kepada ahli-ahli warisnya termasuklah anak-anak kecil tersebut.

Doa

Setelah dikebumikan, si mati akan ditinggalkan di dalam kuburnya berseorangan.

Namun sebenarnya anak-anak yang soleh masih lagi boleh berhubung dengan menitipkan doa-doa kebaikan buat ayah bondanya yang telah meninggal dunia.

Hubungan ini masih berterusan. Amal jariah si mati juga boleh diteruskan agar pahalanya dapat dinikmati oleh si mati.

Ini adalah disebabkan setelah seseorang itu meninggal dunia hanya tiga perkara sahaja yang dapat memberikan ganjaran kepadanya iaitu ilmu yang bermanfaat, sedekah jariah dan juga anak yang soleh mendoakannya.

Ahli waris perlu memastikan ketiga-tiga perkara di atas berterusan untuk manfaat si mati.

Dalam konteks ini sebenarnya terdapat pelbagai ‘ruang perhubungan’ antara si mati dan ahli waris.

Ruang itu perlu dilaksanakan sebaiknya sekiranya ahli waris benar-benar sayang kepada si mati dengan memberikan ganjaran yang dapat meringankan beban si mati di alam barzakh nanti.

Parameter sebenar yang dinilai oleh ALLAH SWT ialah bagaimana kita dapat membantu si mati meningkatkan pahala dan amalan mereka.

Bagi isteri yang kematian suami, mereka hendaklah melaksanakan tempoh iddah mereka mengikut hukum syarak.

Tempoh ini menzahirkan kedukacitaan si isteri yang kematian suami serta memastikan tiada zuriat si mati di dalam kandungan si isteri sekiranya si isteri mahu berkahwin lain.

Dalam masa sama, melihat kepada isu pengurusan harta si mati ahli keluarga si mati hendaklah memastikan dan membuat semakan berkaitan keberhutangan si mati, hak orang lain ke atas harta si mati dan membuat semakan di agensi tertentu seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Tabung Haji, Syarikat Takaful/Insuran dan mana-mana pihak berkaitan bagi memastikan aset sebenar si mati dan bagaimana dapat menguruskannya dengan cara terbaik. Ahli waris wajib melunaskan hutang si mati sekiranya ada.

Tanggungjawab menyelesaikan urusan di dunia ini hendaklah diselesaikan oleh ahli waris pula.

Oleh yang demikian ahli waris sebenarnya masih berperanan bagi kebaikan si mati. Bukan sekadar menziarahi pusara si mati ketika hari lebaran sahaja tetapi memanjangkan kebaikan mereka dengan meneruskan ilmu ditebar si mati yang bermanfaat, sedekah jariahnya dan yang lebih penting doa anak-anak yang soleh hendaklah berterusan kerana ia dapat membantu si mati di alam baqa’.

Jagalah hubungan kita dengan saudara mara kita semasa mereka masih hidup malah sesudah mereka meninggal duniapun teruskanlah ‘hubungan’ tersebut dengan perkara-perkara yang bermanfaat kepada si mati itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!