Isytihar harta lambang integriti
PENGISYTIHARAN harta perlu dilakukan bagi membuktikan ketelusan untuk memastikan harta yang diperoleh setaraf dengan punca pendapatan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya.
Tindakan itu juga dapat mengelak rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta aktiviti yang boleh mencemarkan nama kerajaan yang memerintah.
Wakil rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu memahami aspek Kepemimpinan Berteraskan Integriti; memahami Integriti Dalam Politik (Do's and Dont's) serta menyedari hubungan kuasa politik dan integriti.
Keadaan pada hari ini sudah berbeza berbanding persekitaran satu dekad lalu.
Ahli politik juga memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat dan pengundi masing-masing.
Maka cadangan supaya semua ahli Parlimen wajib mengisytiharkan harta masing-masing melambangkan ketelusan dan tindakan proaktif yang perlu dilaksanakan.
Mana-mana ahli parti atau wakil rakyat yang terpalit dengan skandal dan kes rasuah, tidak sama sekali akan dibenarkan bertanding pada masa akan datang.
Rakyat mengharapkan parti politik untuk tidak meletakkan calon yang mempunyai kes rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Adalah penting untuk parti politik bukan sahaja memilih calon yang bebas daripada sebarang sabitan atau kes rasuah, malah menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.
Jika ada pertuduhan kepada ahli Parlimen dan ADUN mengenai amalan rasuah dan sebagainya, dokumen perisytiharan harta boleh menjadi bukti bahawa harta yang diperoleh diambil maklum oleh kerajaan negeri atau Pusat.
Kajian sikap yang dijalankan oleh saya juga menunjukkan salah satu ciri utama pemilihan dalam kalangan pengundi adalah calon yang tidak terbabit atau terpalit dengan rasuah.
Kajian mendapati pengundi mengharap calon mestilah mempunyai integriti tinggi, jujur, amanah dan bertanggungjawab.
Personaliti calon sememangnya menjadi keutamaan, selain calon anak tempatan dan juga 'turun padang'.
Jelas, pengundi dan rakyat mahukan pemimpin bebas dan bersih rasuah.
Dengan tindakan pengisytiharan harta serta ikrar integriti, meyakinkan pengundi untuk memilih calon dan parti yang berani membuktikan diri bebas rasuah, tanpa berselindung atau 'menyorokkan sesuatu.'
Konsep Kepemimpinan Melalui Teladan sepatutnya menjadi teras kepada mana-mana pemimpin politik.
Ahli Parlimen atau ADUN serta pemimpin yang lain mestilah menunjukkan kepimpinan terbaik dan berintegriti kepada rakyat. Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan melaksanakan amalan terbaik.
Penjawat awam juga diwajibkan untuk mengisytiharkan apa-apa harta yang diperoleh sebelum dilantik dan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Pemimpin sebenarnya ikon atau ikutan yang menjadi contoh di mata pengikutnya.
Seseorang pemimpin yang mengamalkan amalan dan gaya kepimpinan terbaik selalunya dihormati. Bukan ditakuti.
Sebenarnya cabaran terbesar parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti. Pemerintah terutamanya parti yang memegang kuasa berdepan persoalan memantapkan integriti dan menangani tuntutan serta harapan rakyat yang meningkat.
Secara keseluruhan, rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara.
Politik yang bersih dan mengamalkan integriti dalam pentadbiran membolehkan pelaksanaan setiap dasar, program dapat berjalan dengan lancar.
Sewajarnya, semua bakal calon PRU15 nanti menghadiri program integriti anjuran SPRM.
Program itu menyediakan input, penghayatan serta pengamalan ke arah Ikrar Integriti bagi menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada pengurusan tertinggi kerajaan negeri.
Seterusnya memperbaiki persepsi masyarakat terhadap SPRM, meningkatkan pengetahuan pihak pengurusan tertinggi kerajaan negeri di samping menjadikan mereka sebagai tokoh pencegahan rasuah dan berperanan sebagai pihak yang mempertahankan SPRM.
Jika semua parti politik di Malaysia dapat membuktikan bahawa calon PRU15 terdiri daripada mereka berintegriti dan bebas rasuah, kita harap agar pilihan raya itu menjadi gelanggang bagi politik matang dan sejahtera.
Sebenarnya cabaran terbesar parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti.
* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!