Pas beri bayangan mahu kerajaan kekalkan Akta Hasutan

 Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi bayangan mahu kerajaan mengekalkan Akta Hasutan namun meminta takrif hasutan untuk

dibincangkan dengan lebih jelas supaya undang-undang itu tidak disalahgunakan.

"Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.

"Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya," katanya dalam kenyataannya di sini malam tadi.

Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang turut mengimbas gerakan mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam mempersoalkan kewajaran untuk menghapuskan Akta Hasutan.

"Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara. Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?

"Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu," katanya.

Katanya, puncanya apabila dijadikan perjuangan politik bagi diri dan puaknya sahaja tanpa mengira negara secara keseluruhan dan menyedari bahawa semuanya itu adalah rukun bagi tegaknya sesebuah negara.

Artikel Berkaitan:

"Tidak ada negara boleh terbentuk melainkan adanya syarat rakyat, tanah air, pemimpin, undang-undang dasar (perlembagaan) dan kedaulatan negaranya.

"Maka undang-undang dan penguatkuasaannya hendaklah menjamin semua perkara tersebut," katanya.

Abdul Hadi menegaskan Pas menyokong penggubalan ISA pada 1960 walaupun pernah menjadi mangsa penyalahgunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu.

"Pas dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman komunis, walaupun Pas pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai lalu mengesahkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baharu.

Mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, perdana menteri berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkannya.

Dalam pada itu, bekas Presiden Persatuan Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menambah tempoh hukuman penjara seorang pendakwah bebas di bawah Akta Hasutan.

Ambiga menyifatkan hukuman itu sebagai memalukan dan menuntut pemansuhan akta drakonian berkenaan.

Beliau menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan janji memansuhkan Akta Hasutan dan tidak memberikan alasan mengekalkan undang-undang yang telah dibuat lebih daripada tujuh dekad yang lalu itu.

Penceramah bebas terbabit, Wan Ji Wan Hussin pada 9 Julai lalu menjadi tahanan terbaru yang dikenakan hukuman penjara mengikut Akta Hasutan.

Dia dihukum penjara selama setahun dan hukumannya berjalan serta-merta. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Julai lalu membenarkan hukuman Wan Ji ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!