Panjat pagar zink rampas rokok seludup
JOHOR BAHRU - Sejumlah 600 karton rokok putih bernilai RM60,480 termasuk cukai yang dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran dirampas di Tanjung Kelisa di Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 5.30 pagi oleh seorang pegawai dan enam anggota Unit Risikan Marin PPM Wilayah Dua.
"Serbuan di sebuah lokasi dikesan aktif semula. Lokasi yang digunakan semula oleh sindiket penyeludupan walaupun pernah didedahkan menggunakan peralatan kamera litar tertutup (CCTV) pada akhir tahun lalu itu.
"Pasukan serbuan terpaksa memanjat pagar zink setinggi 10 kaki yg menjadi halangan semasa operasi. Siasatan juga mendapati dipercayai sindiket yang sama beroperasi di lokasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Paul berkata, tindakan berterusan yang konsisten akan dilakukan PPM bagi mematahkan rangkaian pembekalan rokok seludup melalui perairan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!