Kekalkan momentum sehingga Final Piala FA
ALOR SETAR - Kedah memperoleh momentum dan motivasi terbaik bagi menghadapi Final Piala FA apabila menjinakkan Perak 4-2 di Stadium Darul Aman bagi aksi ke-21 Liga Super semalam.
Pasukan yang sama bakal dihadapi mereka pada 27 Julai ini di Stadium Bukit Jalil nyata memberikan tekanan yang tinggi kepada Lang Merah sepanjang perlawanan namun pemain Kedah dapat menyerap dengan baik asakan tersebut.
Penolong Ketua Jurulatih, Azmi Mohamed berkata, 'This is Darul Aman' menjadi pencetus semangat kepada semua anak-anak buahnya untuk keluar sebagai pemenang dengan mencatatkan kemenangan yang besar.
Menurutnya, kemenangan tersebut juga diharapkan mampu memberi perangsang kepada pasukan itu bagi menghadapi perlawanan terakhir Liga Super bertemu Felda United di Jengka pada 21 Julai ini.
"Sebelum perlawanan bermula, kami di barisan jurulatih sudah menekankan kepada semua pemain bahawa 'This Is Darul Aman' dan tidak boleh kalah di laman sendiri. Pemain Kedah berjaya mengekang asakan bertubi-tubi oleh Perak sepanjang 90 minit perlawanan.
"Setiap kemenangan diperoleh adalah satu suntikan motivasi buat kita semua jadi saya harap sokongan padu dari peminat, pihak pengurusan dan pemain itu sendiri dapat diteruskan sehingga perlawanan akhir nanti," katanya pada sidang media.
Azmi berkata, kredit perlu diberikan kepada semua pemainnya pemain kerana berjaya membaiki kelemahan sebelum ini apabila sering bolos pada penghujung beberapa perlawanan dahulu namun pada kali ini mampu menjaringkan sehingga empat gol.
"Sebab itu pentingnya persediaan mental dan fizikal sehingga 90 minit terakhir. Setiap lawan terutamanya Perak dibarisi ramai pemain berpengalaman mereka cuba menekan kita di sini namun dengan kekuatan fizikal dan mental kita, dengan strategi kita aturkan, Kedah berjaya mengatasi pasukan lawan dengan baik," katanya.
Menurutnya, beliau bersama seorang lagi Penolong Jurulatih Kedah, Victor Andrag juga sentiasa berhubung dengan ketua jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak yang kini mengikuti kursus dari semasa ke semasa.
"Dalam pada itu, tekanan dari penonton yang mahu Fernando Ortega kembali bangkit dibuktikan dengan menjaringkan dua gol termasuk satu hantarannya yang menjadi punca kepada gol pertama Kedah. Ini satu perkembangan yang bagus," katannya.
Sementara itu, Penolong Jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil berkata, kegagalan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang memaksa pasukannya akur kepada kekalahan tersebut.
Bagaimanapun, The Bos Gaurus tekad bangkit pada aksi seterusnya untuk memburu motivasi sebagai bekalan untuk berdepan Kedah sekali lagi pada pentas final Piala FA.
"Perak turut menguasai perlawanan ini namun mungkin disebabkan oleh kelalaian menyebabkan lawan berjaya mengambil kesempatan menjaringkan dua gol pada akhir perlawanan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!