Alat pengesan gas perlu kekal di sekolah berisiko
PASIR GUDANG - Exco Pendidikan, Aminolhuda Hassan menyarankan agar alat pengesan gas ‘volatile organic compounds’ (VOC) perlu dikekalkan di sekolah berisiko di Pasir Gudang.
Beliau yang membuat tinjauan ke Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia hari ini mencuba sendiri alat pengesan gas yang dipinjamkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memeriksa udara di beberapa kelas.
"Alhamdulillah hasil tinjauan di kelas-kelas yang telah terkesan pada insiden pencemaran gas beracun, kita dapati bacaannya berada pada tahap sifar.
"Hari ini hari terakhir alat pengesan ini dipinjamkan ke sekolah. Adalah lebih baik alat ini dikekalkan di sekolah yang paling berisiko.
"Sekurang-kurangnya 10 sekolah yang perlu diberikan alat ini yang berhampiran betul dengan kawasan industri," katanya. Ini semua untuk keselamatan anak-anak supaya mereka dapat hadir ke sekolah tanpa rasa bimbang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Taman Bukit Dahlia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aminolhuda mencadangkan agar alat pengesan gas itu dilengkapi sistem bunyi amaran jika mengesan bacaan melebihi paras selamat.
Sebelum ini, 111 sekolah dibekalkan dengan alat pengesan gas yang dipinjamkan sehingga hari ini selepas beberapa insiden gangguan kesihatan melanda pelajar dan guru di Pasir Gudang.
ARTIKEL BERKAITAN: 111 sekolah di Pasir Gudang terima alat pengesan gas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!