Hajat beli barang kahwin bertukar tragedi
BESUT- Seorang bakal pengantin maut ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli peralatan perkahwinannya apabila pacuan empat roda dipandunya terbabas di Kampung Lak Lok, Jertih, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Mohd Ash Shahid Abdul Wahab, 25, dari Kampung Gong Bayor, di sini, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala empat penumpang termasuk tunang mangsa cedera.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kenderaan jenis Nissan Navara dari arah Pasir Putih, Kelantan menghala ke Jertih.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tiang lampu yang berada di tengah pembahagi jalan.
“Kenderaan mangsa terus masuk ke laluan bertentangan kemudian melanggar tiang elektrik yang berada di tepi sebelah kanan jalan,” katanya.
Mohd Zamri berkata, akibat kemalangan itu mangsa meninggal di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala dialaminya.
Menurutnya, penumpang hadapan, Noor Azziani Kafli, 20, mengalami patah tulang jari tangan sementara tunang mangsa, Nor Najihah Mohamad, 21, yang duduk di kerusi penumpang belakang hanya cedera ringan.
“Bakal bapa mertua mangsa yang juga duduk di kerusi belakang, Mohamad Abd Latif, dari Gong Nering serta seorang lagi mangsa, Mohammad Danish Afzal Mohd Nazeri, 11 tahun hanya cedera ringan.
Tambah Mohd Zamri, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk bedah siasat manakala semua penumpang turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Sementara itu menurut bapa mangsa, Abdul Wahab Isa, anak lelakinya yang bekerja sebagai penyelia keselamatan dan kontraktor itu, mahu membuat persiapan awal untuk perkahwinannya yang dijadualkan pada 19 September depan.
“Walaupun saya sedih tetapi reda dengan ketentuan ini kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!