Permaisuri Agong luang masa bersama banduan Penjara Penor
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli meluangkan masa selama lebih dua jam bersama banduan di Penjara Penor di sini, hari ini.
Baginda tiba seawal jam 10 pagi sebelum berangkat ke bengkel Tenun Penjara Penor dan disambut kira-kira 70 banduan yang terlibat proses menenun.
Dalam kunjungan itu, baginda permaisuri berkenan menyantuni kesemua banduan di samping membuat perkongsian ilmu mengenai ilmu tenunan kepada delegasi, terdiri daripada kenalan rapat baginda, rakan media dan kepada banduan itu sendiri.
Baginda bertitah, sepanjang penglibatannya sebagai penaung Bengkel Tenun Penjara Penor sejak 2007 telah banyak perkongsian ilmu serta ilham reka bentuk dicurahkan.
"Semua motif dan reka bentuk serta warna saya suka. Motif tradisional antara yang saya suka dalam penghasilan kain tenun," titahnya.
Hadir sama mengiringi baginda adalah Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Husin, Pengarah Kraftangan Malaysia Pahang, Mohd Latif Dirun, Anakanda Sultan Terengganu,
Tengku Nadhirah Zaharah Sultan Mizan dan Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal.
Pada kira kira jam 12.00 tengah hari, baginda berkenan melanjutkan kunjungan ke Kompleks Perkampungan Budaya Pulau Keladi bagi melawat Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD), Tenun Che Minah Sayang, Balai Permaisuri dan Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak.
Baginda meluangkan masa hampir dua jam dan turut menurunkan tandatangan ketika proses mencanting batik di institut tersebut.
Balai Permaisuri dan Rumah Kelahiran Tun Abdul Razak di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Negeri Pahang manakala IKTPD di bawah Kraftangan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!