Malaysia iktiraf sumbangan AS terhadap pembangunan negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) disambut rakan sejawatannya dari Papua New Guinea Peter O'Neill sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2018 hari ini. -- Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) disambut rakan sejawatannya dari Papua New Guinea Peter O'Neill sempena Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2018 hari ini. -- Foto Bernama
A
A
A
PORT MORESBY, PAPUA NEW GUINEA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, memuji syarikat Amerika Syarikat (AS) kerana menjadi antara yang terawal memberi maklum balas terhadap seruan untuk pelaburan langsung asing.

Katanya, syarikat AS memainkan peranan dalam merangsang pembangunan ekonomi negara.

"Antara beberapa syarikat yang memberikan maklum balas terhadap seruan kita untuk FDI, syarikat AS adalah antara yang terawal.

Kita menghargainya. Mereka mendirikan kilang pengeluaran di Malaysia dan menghasilkan barangan yang canggih seperti mikrocip dan yang seumpamanya,” katanya.

Dalam ucapan pembukaan sewaktu mengadakan pertemuan dengan Gabungan Perniagaan AS-Apec sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) dari 17 hingga 18 November, di sini, pada Sabtu, Dr Mahathir berkata, kehadiran mereka merangsang sektor eksport Malaysia.

Beliau menyatakan bahawa, Malaysia mengeluarkan getah, minyak sawit, koko dan lada, tetapi malangnya produk ini tidak mampu memberikan kekayaan kepada negara. "Apa yang boleh memperkayakan negara adalah penghasilan barangan, bagaimanapun kita tiada kepakaran dalam bidang pengeluaran serta pasaran dan ini mengehadkan kapasiti kita untuk meningkatkan ekport,” katanya.

Ketua Eksekutif syarikat seperti UPS, Moody's, Shire, FedEx, Johnson & Johnson, UL, Cargill, Freeport-McMoRan, GE dan Google menghadiri sesi berkenaan. Data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan sejumlah 1,161 projek pengeluaran dengan pembabitan syarikat AS diluluskan dengan pelaburan bernilai RM95.64 bilion dari 1980 hingga Jun 2017.

Sementara itu, Dr Mahathir mengadakan dua mesyuarat dua hala dengan pemimpin APEC, pertama dengan rakan sejawatan dari Kanada, Justin Trudeau. Difahamkan, kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai cara untuk meningkatkan perdagangan, dengan Kanada menyatakan minat untuk mengadakan mesyuarat berkenaan memandangkan negara itu meninjau kedudukan di dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, selain membincangkan mengenai isu Rohingya.

Dr Mahathir juga bertemu dengan Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong, Carrie Lam. Sewaktu pertemuan dua hala itu, beliau mencadangkan sambungan udara antara Kuala Lumpur dan Hong Kong dipertingkatkan kerana ia akan meningkatkan jumlah pelancong yang melawat kedua-dua negara, sementara Lam menyatakan Hong Kong akan terus menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia yang cemerlang.
Artikel Berkaitan:


Selepas itu, Dr Mahathir menyertai pemimpin berkenaan untuk sesi bergambar kumpulan dan kemudiannya menghadiri sesi Plenari Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan Dialog Pemimpin APEC dengan Pemimpin Pulau Pasifik sebelum menghadiri majlis makan malam gala.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!