Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu henti operasi
KUALA TERENGGANU - Rangkaian restoran makanan segera jenama antarabangsa milik kerajaan negeri, Chicken Cottage yang beroperasi di Ladang Tok Pelam, di sini, akan menghentikan operasi bermula esok.
Notis penutupan outlet itu telah ditampal di pintu masuk premis berkenaan sejak minggu lalu oleh pihak pengurusan Chicken Cottage.
Notis itu memaklumkan kepada pelanggan dan orang ramai bahawa premis berkenaan akan berhenti beroperasi pada 15 Julai 2019 dan turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan diberikan pelanggan.
Dalam kenyataan disiarkan pada 17 April lalu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan rangkaian makanan segera itu akan menghentikan operasinya selepas Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, keputusan itu dibuat setelah menilai prestasi keseluruhan Chicken Cottage yang beroperasi di dalam dan luar negara bagi mengurangkan kerugian.
Bagaimanapun katanya, Chicken Cottage Cawangan Kuala Terengganu itu tidak akan ditutup sepenuhnya, sebaliknya dijangka akan dibuka semula dalam tempoh dua tahun lagi di lokasi yang lebih sesuai.
Ia mula beroperasi di Ladang Tok Pelam pada 18 Disember 2014 manakala cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dibuka pada 1 April 2018.
Jenama Chicken Cottage mula beroperasi di Wembley, United Kingdom pada 1994 dan menjadi nama yang semakin kukuh dalam industri restoran makanan segera dengan mempunyai lebih 100 francais di United Kingdom, Eropah, Afrika Utara dan Asia Barat.
Sayap pelaburan negeri, Terengganu Inc Sdn Bhd (TISB) bersama Global Food Brand Limited telah menubuhkan TIGFH bagi menguasai 70 peratus saham Chicken Cottage Limited dan memiliki jenama itu pada Februari 2014 daripada pemilik terdahulu, sekali gus menjadikannya sebagai jenama Malaysia sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!