Makan nasi 'berlauk' minyak masak
GUA MUSANG - Masyarakat orang asli suku Bateq, Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, memerlukan bekalan makanan yang mana sejak dua minggu lalu, mereka hanya makan nasi digaul minyak masak.
Menurut Ani Ong, 38, sejak kejadian yang berlaku di kampungnya itu mendapat perhatian, ramai yang datang memberikan bekalan beras namun tiada bekalan lauk.
"Banyak beras, kami dah muak makan nasi dengan minyak. Lauk lain tak ada, kami nak beli lauk tiada duit.
"Sebelum ini, kami makan ikan kering dari pemberian pengusaha lombong. Sekarang dah tak ada.
"Saya dan anak-anak dah seharian tak makan kerana tak lalu dan makan dengan minyak sahaja," katanya.
Bagi Kuntum Keladi, 60, selain minyak, dia turut makan nasi berlaukkan pucuk paku dan cempedak.
"Sebulan lalu, memang banyak makanan sebab ramai yang bagi makanan. Sekarang dah tiada dan kami kembali makan sumber-sumber hutan.
"Kami nak beli, kami tiada punca pendapatan apatah lagi kawasan ini ditutup untuk orang luar sebelum ini," katanya.
Sementara itu, ketua kampung, Mohamad Pokok berkata, kini terdapat 57 keluarga merangkumi 186 penduduk di kawasan berkenaan.
"Hampir separuh daripada jumlah itu masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Setiap sumbangan makanan, kami kumpulkan di satu tempat dan agihkan kepada penduduk.
"Memang sekarang makanan tiada. Kami perlu mencari makanan sendiri, cuma beras sahaja yang ada," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!