Kami kena berusaha: Izzue Islam

 Izzue Islam
Izzue Islam
A
A
A

PERKAHWINAN Izzue Islam dan isterinya, Nurinafilah Waharudin, atau lebih dikenali dengan nama Awin Nurin, 37, sudah memasuki tahun keenam.

Namun takdir ALLAH SWT, pasangan ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Mengakui tidak pernah berasa tertekan apabila sering ditanya mengenai soal anak, Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 30, bagaimanapun mengakui sudah merancang untuk membuat pemeriksaan lanjut bagi mengenal pasti punca mereka sukar mendapatkan cahaya mata.

Bersikap positif sekiranya salah seorang daripada mereka didapati mempunyai masalah, Izzue berkata, mereka sedia untuk menjalani rawatan susulan, baik secara moden mahupun tradisional.

No Image Caption

“Memang kami ada merancang buat pemeriksaan, tetapi jadual kerja saya agak padat. Bagaimanapun kami sudah sepakat menjalani pemeriksaan tahun ini juga.

“Maklumlah usia makin meningkat dan kami tidak mahu peluang itu makin tipis. Walaupun semua itu (soal anak) adalah rezeki dan perancangan daripada ALLAH SWT, tapi kami kena berusaha.

Artikel Berkaitan:

“Kalau disahkan salah seorang yang bermasalah, kami sedia untuk menjalani rawatan susulan,” katanya yang ditemui selepas sidang media Konsert Hora Horey Didi & Friends lIVE di sebuah hotel terkemuka di ibu kota baru-baru ini.

Tambah Izzue, setakat ini mereka belum merancang untuk mengambil anak angkat dan mahu mencuba menjalani rawatan terlebih dahulu.

“Kami ada jumpa orang, minta nasihat dan pandangan. Memang ada yang suruh ambil anak angkat, tapi ada juga yang cadang jalani pemeriksaan bagi mengenal pasti masalah terlebih dahulu.

“Kita lihat dahulu bagaimana selepas jalani pemeriksaan dan rawatan. Kalau tak berjaya juga, mungkin baru kita akan fikirkan untuk ambil anak angkat,” jelasnya.

Sukakan kanak-kanak

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam Konsert Hora Horey Didi & Friends Live, Izzue berkata, dia mendapat jemputan daripada pihak Digital Durian dan tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama peminat cilik.

No Image Caption

“Sebelum ini saya telah dijemput oleh pihak Digital Durian untuk bekerjasama dalam video klip lagu Mandi untuk siaran platform YouTube.

“Jadi bila mereka ajak untuk buat persembahan di konsert ini, tentulah saya teruja. Dapat pula berjumpa dengan peminat cilik, bergaul dengan mereka. Mana tahu terlekat pula rezeki untuk dapat cahaya mata,” katanya yang akan bersama-sama sepanjang tiga hari konsert tersebut dari 15 hingga 18 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!