Pelancong hilang banjir kilat di Taman Negara Mulu ditemukan lemas
MIRI - Seorang warga Belanda yang hilang ketika banjir kilat di Gua Rusa di Taman Negara Mulu sejak Jumaat lalu ditemukan mati lemas, semalam.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, Peter Hans, 66, yang hilang bersama seorang pemandu pelancong tempatan Roviezal Robin, 20, ditemukan jam 6.40 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Mulu di Sungai Gua Rusa Mulu.
“Pihak bomba bergegas ke lokasi menggunakan helikopter M17 Unit Udara Bomba.
"Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka dan operasi SAR terus dijalankan bersama pasukan SAR Mulu bagi mencari mangsa kedua di sekitar kawasan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Namun, tambah Poh Kiong, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 3.22 petang atas faktor mendung dan risiko cuaca ribut di kawasan pencarian.
"Hujan turun dengan lebat menyebabkan kesemua anggota pasukan SAR keluar dari Gua Rusa dan balik ke PKB," jelas beliau.
Katanya lagi, mangsa dan pemandu pelancong tempatan itu dilaporkan hilang pada pukul 5.50 petang Jumaat lalu ketika banjir kilat berlaku di taman negara itu.
"Seramai sembilan orang pelancong asing bersama seorang pemandu pelancong tempatan dibawa meneroka Gua Rusa Mulu sebelum dilanda kejadian banjir kilat.
"Hanya lapan orang pelancong dilaporkan selamat manakala dua lagi masih belum ditemui selepas kejadian terbabit," katanya.
Menurut maklumat awal, Gua Rusa mempunyai sungai dan mangsa dikhuatiri hilang setelah dibawa arus deras kepala air semasa berlaku banjir kilat di dalam gua tersebut. - Suara Sarawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!