Bina 1,224 rumah baharu PPRT seluruh negara
TUMPAT - Kerajaan akan membina 1,224 rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh negara tahun ini dengan peruntukan RM200 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah berkata, daripada jumlah peruntukan itu juga, sebanyak 7,500 rumah dibaik pulih tahun ini.
Bagaimana pun katanya, pembinaaan rumah PPRT di Kelantan masih dalam permohonan daripada pemohon yang layak.
"Mereka yang layak mesti memiliki tanah sendiri dan namanya tersenarai dalam e-Kasih.
"Mereka akan ditemuduga oleh kumpulan khusus yang akan turun padang bertemu dengan pemohon rumah PPRT," katanya dalam sidang akhbar di Pulau Suri hari ini.
Dua buah rumah PPRT yang baharu siap dibina di Pulau Suri turut dilawati Sivarasa.
Hadir sama Pengarah Kemas Kelantan, Anuar Mat Zain.
Sebelum itu, dalam lawatan kerja ke Tumpat, beliau melawat tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Pulau Teluk Rejuna yang jaraknya lima kilometer dari Pulau Suri dengan menaiki bot.
Sivarasa berkata, kementeriannya berhasrat memperluaskan tabika Kemas untuk kemudahan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di bandar dan pinggir bandar.
"Kita fokus tahun 2020, sebanyak 10 unit taska akan dibuka dan menyasarkan setiap Parlimen mempunyai sebuah taska," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!