Pemandu pelancong hilang di Taman Negara Mulu belum ditemui
MIRI - Operasi mencari serta menyelamat seorang pemandu pelancong, Roviezal Robin yang hilang setelah dibawa arus deras di sungai Gua Rusa di Taman Negara Mulu Jumaat lepas, masih gagal menemui mangsa pada hari ini.
Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, operasi ditangguhkan pada pukul 3.11 petang ini, setelah usaha pencarian mangsa berusia 20 tahun itu dimulakan semula pukul 8.30 pagi ini.
"Operasi mencari dan menyelamat akan disambung esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Poh Kiong berkata, operasi pada hari ini melibatkan lima pasukan yang berpecah mencari Roviezal di setiap lokasi gua tersebut termasuk terowong gua serta laluan sungai dalam gua itu.
Dalam kejadian berlaku pukul 5.50 petang Jumaat itu, Roviezal serta seorang pelancong Belanda Peter Hans, 66, hilang dibawa arus semasa banjir kilat, dengan mayat Hans ditemui jam 6.40 pagi semalam.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!