Permaisuri Agong pilih kain tenun
PEKAN - Martabat kain tenun terus diangkat apabila menjadi pilihan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai persalinan pada hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Menariknya persalinan berwarna kuning berpakan emas dan perak itu menampilkan motif rekaan eksklusif ilham Tunku Azizah sendiri yang turut disertakan colek jata Pahang dan bintang jata Johor sebagai simbolik penyatuan baginda yang juga puteri Johor dan suaminya, kerabat diraja Pahang.
Namun siapa sangka, di sebalik keanggunan, ketelitian tenunan warisan bangsawan, rekaan kreatif, autentik dan eksklusif itu ia dihasilkan tangan-tangan banduan yang menjadi penghuni tirai besi.
Apa yang lebih mengharukan, titah Tunku Azizah, persalinan tenun itu mungkin bakal digayakan dengan tanjak berusia 40 tahun pernah dipakai Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah ketika ditabalkan sebagai Agong ketujuh, pada 1979.
"Saya memang akan pakai kain ditenun banduan kerana saya diberi penghormatan oleh mereka yang berusaha bersama-sama mengangkat fabrik ini sehingga dikenali ramai dan cetusan idea serta rekaan adalah ilham daripada saya sendiri. Ada colek jata Pahang dan bintang negeri Johor. Motif pada tenunan ini saya dapat apabila melihat pantulan cahaya matahari yang jatuh di atas kain.
"Saya nampak pantulan cahaya itu dan saya kata, saya nak corak itu. Alhamdulillah, mereka (pegawai penjara dan banduan) faham motif rekaan yang saya nak dan mereka mampu melakukannya dengan baik. Ini bermakna banduan cekap menenun mengikut spesifikasi dan kehendak saya," titah baginda ketika mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor di sini hari ini.
Titah baginda, kain-kain tenun yang ditempah dari Penjara Penor akan digayakan baginda sekeluarga pada istiadat pertabalan, manakala untuk majlis bankuet di sebelah malamnya, baginda dan anak-anak akan menggayakan persalinan tenun hasil banduan Penjara Bentong.
"Saya dah tempah kain tenun itu dan semuanya sudah siap menjadi baju. Saya juga tempah tenun khas untuk hadiah kepada Sultanah Johor," titahnya kepada Sinar Harian.
Sementara itu seorang banduan, Hakim, 38, (bukan nama sebenar) yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol berasa bertuah kerana permaisuri sudi mencemar duli, bertentang mata dan berkongsi idea dengan mereka yang dipandang hina sesetengah pihak dan masyarakat.
"Besar penghargaan baginda kerana sudi memakai hasil tangan kami. Ia benar-benar menginsafkan kerana di saat tiada siapa mahu percayakan banduan, ada hati yang sangat mulia sedang membantu kami secara motivasi untuk bangkit dan belajar serta keluar penjara sebagai orang berguna dan berkemahiran.
"Kesudian Tuanku yang mulia menyantuni dan melayani kami dengan baik amat meruntun sanubari. Terima kasih Tuanku Raja Permaisuri (Agong). Permata hati rakyat, permata hati banduan di penjara. Kedatangan Tuanku Permaisuri sentiasa dinanti-nanti dan memberi senyuman buat kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!