Isu kehilangan wang tuntutan bayaran balik GST bakal terjawab
KUALA LUMPUR - Isu kehilangan wang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bakal terjawab hari ini, selepas hampir setahun pendedahan mengenainya dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan membentangkan laporan berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu di Dewan Rakyat.
Orang ramai juga boleh mendapatkan laporan itu dengan memuat turunnya dari laman web PAC Parlimen www.parlimen.gov.my/pac selepas ia dibentangkan.
Pada Ogos tahun lepas, Lim mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 bilion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei 2018, namun baki sedia ada dalam tabung bayaran balik hanya sekitar RM1.49 bilion.
PAC memulakan prosiding siasatan berhubung perkara itu dan mengambil masa selama 11 bulan bermula 15 Ogos 2018 untuk menyiapkan laporan berkenaan.
Dalam pada itu, pembayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah antara isu dijangka menghangatkan sidang Dewan Rakyat yang bersambung bagi minggu ketiga hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan berhubung strategi dan dasar baharu yang akan dilaksanakan untuk menggalakkan peminjam membayar balik pinjaman.
Sidang Dewan Rakyat juga dijangka menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019, bertujuan mencadangkan amalan, etika, kelakuan dan tatatertib profesional peguam syarie. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!