Inovasi sabut petola bantu rawat sisa air dengan kos penyelenggaraan minimum
Sabut kelapa dimasukkan ke dalam lubang yang terdapat pada sabut petola.
Colufnas berorientasikan kepada aplikasi geotekstil semula jadi daripada serat petola sebagai bahan penapis.
Dr. Rohayu (kanan) menunjukkan produk Inovasi colufnas yang diperbuat daripada petola.
Colufnas menggabungkan serat geotekstil dari sabut petola, sabut kelapa dan kayu arang diaktifkan.
Ujian makmal menunjukkan bagaimana inovasi colufnas berfungsi.
PETOLA
A
A
A
Manfaatnya tidak hanya untuk pemakanan sahaja malah sabut petola itu juga boleh dijadikan sebagai skrub badan. Ia dikatakan berkesan untuk menanggalkan sel kulit mati selain membantu melicinkan kulit.
Bahkan sejak zaman dulu lagi, sabut petola turut digunakan sebagai alat penapis kerana kelebihannya mampu menyah bauan yang tidak menyenangkan.
Berdasarkan kelebihannya sebagai penapis mesra alam itu, Pengarah Institut Infrastruktur Tenaga, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Prof Madya Dr Rohayu Che Omar memulakan kajian dan pembangunan produk pada 2014.
Bertitik tolak dari situ, maka terhasil produk inovasi baharu iaitu alat penapis mesra alam yang dikenali sebagai colufnas.
Sumber mentah semula jadi
Colufnas adalah bahan inovatif terdiri daripada sumber mentah semula jadi yang khusus diperoleh dari sisa pertanian.
Produk tersebut menawarkan alternatif yang boleh dipercayai dan ekonomi untuk menyokong inisiatif global dalam pembangunan mampan.
Rohayu berkata, ciptaan itu berorientasikan kepada aplikasi geotekstil semula jadi dari serat petola sebagai bahan penapis untuk meningkatkan kualiti larut resin bagi sistem pengumpulan bahan larut lesap (leachate).
“Colufnas menggabungkan serat geotekstil daripada sabut petola, sabut kelapa dan kayu arang yang diaktifkan dan boleh digunakan sebagai penapisan larutan leachate dalam dalam sistem pengumpulan bahan larut lesap itu.
“Ia bertindak sebagai bahan penyerap yang berkesan dalam merawat sisa air di tapak pelupusan,” katanya pada di Pameran Pertandingan Pameran Antarabangsa Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) 2019 di Pusat Konsvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Tambahnya, colufnas juga berupaya untuk menapis bendasing dan logam berat dalam larutan leachate dan mampu merawat bahan pencemar mikrob.
Kurangkan kos operasi
Inovasi colufnas berjaya menarik minat syarikat pengurusan alam sekitar yang juga milik penuh DRB-Hicom Berhad, Alam Flora Sdn Bhd.
Ia merupakan projek rintis dengan syarikat tersebut sejak 2018 yang mana inovasi colufnas itu digunakan di salah sebuah tangki merawat di Gombak, Selangor.
Tangki tersebut berfungsi merawat sisa air di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Sebagai syarikat yang menguruskan dan mengurangkan sisa buangan, mereka menggunakan bahan kimia dalam bentuk pil bagi merawat sisa air.
“Selain kosnya yang tinggi untuk penggunaan harian ia juga memberi kesan kepada alam sekitar,” kata Dr Rohayu.
Berbanding bahan penapis lain, beliau berkata, penyelenggaraan colufnas mudah kerana ia hanya perlu dicuci pada setiap bulan dan mampu bertahan sehingga enam bulan sebelum diganti baharu selain menjimatkan kos operasi.
“Penapis colufnas ini juga mampu mengurangkan nilai pH dan kadar ammonia nitrogen yang terdapat di air sisa,” katanya.
Rahayu berkata, kerjasama dengan Alam Flora menerusi projek rintis itu dijangka tidak terhenti bagi loji rawatan untuk Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.
Malah, katanya, syarikat itu juga bersedia menggunakan inovasi colufnas bagi rawatan lojinya yang lain, termasuk di Pahang.
“Kami di Uniten sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat atau organisasi yang berminat menggunakan inovasi ini.
“Selain mampu mengurangkan kos operasi, pada masa sama membantu memelihara alam sekitar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!