Tiada kaki bukan alasan tak boleh kerja
TANGKAK - Kelibatnya menunggang motosikal beroda empat sambil membawa beberapa batang penyapu dan bungkusan makanan ringan untuk dijual di sekitar daerah ini bukanlah suatu yang asing bagi segelintir penduduk.
Malah, kehadirannya menjaja hasil jualan ke beberapa pasar di sekitar Bukit Gambir di sini, sinonim buat pengunjung dan peniaga ekoran keadaan fizikal tidak berkaki selain teriakannya memanggil pelanggan untuk membeli barang.
Bagi empunya diri, Tukimin Minhat, 62, meskipun tanpa anggota badan yang sempurna, itu bukanlah kekurangan dan penghalang meraih rezeki tambahan.
"Saya dah mula berniaga dengan menjaja penyapu dan bertih jagung menggunakan motosikal sejak 2015 lagi.
"Ketika itu dua kaki masih ada, namun kesihatan dah mula terganggu kerana penyakit kencing manis yang saya hidapi sejak 1986.
"Sebelum itu, saya menjual pakaian bundle di pasar malam dan kemudian bertukar bentuk jualan dengan berniaga sayur-sayur kampung berikutan tahap kesihatan semakin merosot.
"Pada 2015, kaki saya semakin teruk menyebabkan tidak lagi mampu menjual di pasar malam," katanya kepada wartawan.
Tukimin berkata, berikutan itu, dia membuat keputusan mengambil upah menjual penyapu lidi dan bertih jagung yang dibelinya dengan menaiki motosikal ke pasar tani, pasar LYC dan Pasaraya Econsave, Bukit Gambir di sini.
"Sehari untung tidaklah banyak sangat, biasanya RM20 tetapi cukup untuk penuhi keperluan.
"Dulu masa ada kaki, saya guna motosikal biasa, namun selepas kaki kiri dipotong pada September 2015, saya menjalankan perniagaan dengan menunggang motosikal sama yang diubahsuai menjadi tiga roda pula.
"Bagaimanapun, selepas kaki kanan dipotong pada September tahun lalu, saya nekad beli motosikal khas ini sebagai pengangkutan untuk bergerak dan menjaja hasil jualan," katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata yang menetap di Kampung Melayu Raya, Jalan Masjid di sini, berkata, aktiviti jualannya itu bukanlah kerana tidak memperoleh keperluan mencukupi atau diabaikan anak-anak, namun sebagai terapi buat dirinya yang gembira tatkala bertemu pelanggan.
"Anak saya dua perempuan dan seorang lelaki. Yang perempuan dah berkahwin dan ditanggung suami masing-masing, manakala anak lelaki berusia 26 tahun kini bertugas sebagai askar. Saya tak mahu bebankan dia dan justeru, saya tidak pernah minta wang anak-anak.
"Kalau mereka hulur saya ambil tak kira berapa jumlahnya. Kalau saya perlukan wang lebih, hasil jualan inilah yang akan tampung saya dan isteri (Mujiah Hussain, 67)," katanya yang mengakui dirinya turut mempertuntukkan keperluan lampin pakai buang untuk enam pek sebulan.
Menurutnya, selain itu sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM300 sebulan diperolehnya juga dapat membantu dia dan isteri membeli barangan asas sedikit sebanyak.
"Mujur kelengkapan hospital disediakan secara percuma. Saya cuma peruntukkan duit minyak dan bantuan daripada rakan-rakan yang boleh bawa saya ke hospital untuk beberapa bulan sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!