PTPTN berjaya kutip RM6.23b bayaran balik: Maszlee

Dr Maszlee - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Maszlee - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip sejumlah RM6.23 bilion daripada 1.13 juta peminjam perbadanan tersebut.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kutipan tersebut adalah untuk tempoh 2013 hingga bulan Mei lalu.

"Mengikut julat umur 20 hingga 29 tahun, seramai 642,410 peminjam telah membuat bayaran balik yang berjumlah RM3.33 bilion manakala sebanyak RM2.65 bilion dikutip daripada peminjam dalam julat umur 30 hingga 39 tahun.

"Sementara itu, sebanyak RM228.44 juta bayaran balik dikutip daripada peminjam dalam julat umur 40 hingga 49 tahun, RM16.15 juta dikutip daripada peminjam berusia 50 hingga 50 tahun manakala sebanyak RM367,441 bayaran balik dikutip daripada 80 peminjam berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Maszlee berkata demikian dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanyakan perincian pembayaran semula pinjaman PTPTN mengikut pecahan umur daripada tahun 2013 hingga Jun tahun ini.

Sementara itu, Maszlee memberitahu, untuk strategi dan dasar baharu bayaran balik PTPTN, satu Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) telah disediakan dan dipaparkan untuk cadangan pandangan rakyat mulai 16 Mei hingga 13 Jun lalu.

"Dapatan daripada KKR akan diperhalusi oleh satu panel penasihat khas bagi mengenal pasti cadangan terbaik yang akan diguna pakai sebagai mekanisme pembayaran balik PTPTN seterusnya akan dibentangkan kepada jemaah menteri untuk kelulusan sekitar bulan Ogos nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, kata Maszlee, kerajaan masih tidak melaksanakan semula tindakan senarai hitam kepada peminjam-peminjam PTPTN.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!