Ford serah geran pendidikan RM32,881 kepada Montfort Boys Town
FORD Motor Company dan pengedar tunggalnya, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) menyokong industri automotif tempatan dalam bentuk latihan untuk melahirkan juruteknik bertauliah.
Terbaharu, geran bernilai RM32,881 (AS$8,000) diserahkan kepada Montfort Boys Town melalui program Geran Pendidikan Ford di Malaysia untuk tujuan berkenaan.
Pengarah Urusan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford, Truong Kim Phong berkata, geran itu membolehkan Montfort Boys Town untuk mendapatkan dua tiang pengangkat atau lebih dikenali dengan lift post bagi kegunaan Jabatan Pemasangan Automotif.
"Dengan gandingan rakan tempatan SDAC, kami begitu berbangga untuk terus menyokong Montfort Boys Town dan menyediakan peluang berserta latihan praktikal dan pembangunan kemahiran untuk para pelatihnya,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Montfort Boys Town merupakan institusi yang menyediakan latihan praktikal vokasional dan kemahiran hidup kepada belia yang kurang berkemampuan.
Pada tahun 2017, Ford telah menyumbang dua kenderaan Ford dan peralatan sehingga membolehkan Montfort Boys Town menambah satu lagi program latihan di dalam kurikulum mereka.
Inisiatif yang lain termasuklah program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup yang merupakan program latihan pemanduan selamat untuk semua pemandu berlesen untuk pelbagai peringkat usia.
Selain itu, kakitangan Ford dan sukarelawan yang terdiri daripada agen-agen Ford turut melibatkan diri dalam pelbagai projek khidmat masyarakat menerusi acara tahunan Bulan Prihatin Sedunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!