Ribut kuat rosakkan lebih 10 rumah
MARANG - Lebih 10 buah rumah mengalami kerosakan akibat angin kuat dan dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, petang semalam.
Kampung terlibat dalam kejadian ribut selama lebih sejam bermula kira kira jam 4.30 petang itu termasuk Sentol Patah, Kuala Tengah, Seberang Marang dan Masjid Haji Said dan Rusila.
Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, kebanyakan rumah terjejas dalam kejadian tersebut mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.
Katanya, anggaran kerugian sebenar masih lagi dalam taksiran manakala jumlah rumah yang mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan juga masih dalam siasatan pihaknya dan agensi berkaitan.
"Pihak Pejabat ADUN Rhu Rendang juga telah turun melihat keadaan penduduk di kampung kampung yang terbabit.
"Insya-ALLAH dengan kerjasama agensi terbabit bantuan akan disalurkan secepat mungkin dan penduduk terlibat dinasihatkan agar membuat laporan polis bagi mengesahkan kejadian," katanya hari ini.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang turut menerima dua laporan pokok tumbang iaitu di jalan utama berhadapan Penjara Marang dan di Seberang Marang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!