Banjir bukan pesta main air!
PASIR MAS - Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas sentiasa memberikan peringatan kepada pelajar dan murid sekolah mengenai bahaya bermain air banjir.
Pegawai PPD Pasir Mas, Ahmad Termizi Musa berkata, peringatan itu adalah salah satu bentuk pendidikan untuk mengubah tanggapan bahawa banjir satu pesta.
"Walaupun banjir sudah sinonim dengan mereka, pesanan dan ingatan tetap diberikan kepada pelajar serta murid-murid di sini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Juara PPD Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.
Pada majlis tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bembang muncul juara keseluruhan bagi sekolah menengah, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kiambang johan kategori sekolah rendah.
Ahmad Termizi berkata, peringatan itu diberikan sebelum cuti akhir tahun bermula dan hari terakhir peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Katanya, ia bagi memastikan mereka sentiasa peka dengan aspek keselamatan pada musim tengkujuh.
"Banjir bukan pesta, ia adalah bencana. Jadi selalulah waspada," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Termizi berkata, semua premis sekolah yang akan digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir sudah berada dalam keadaan siap sedia.
Menurutnya, persiapan itu bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!