Wabak malaria landa orang asli Kuala Lipis tak ancam nyawa: Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kiri) merasmikan '33rd Scientific Meeting for Malaysian Society of Pharmacology and Physiology (MSPP)' 2019 hari ini. Foto: Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) bersama Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim (kiri) merasmikan '33rd Scientific Meeting for Malaysian Society of Pharmacology and Physiology (MSPP)' 2019 hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan berlaku wabak malaria yang melanda komuniti orang asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

Ketika mengesahkan laporan berita awal hari ini bahawa lebih 10 orang asli dimasukkan ke hospital selepas disyaki menghidap plasmodium vivax malaria, Dr Dzulkefly berkata wabak malaria itu yang menjejaskan 11 orang asli dalam bentuk ringan dan tidak mengancam nyawa.

Kesemua mereka ketika ini dirawat di Hospital Kuala Lipis, katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik ke-33 Persatuan Farmakologi dan Fisiologi Malaysia 2019, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, orang asli yang dijangkiti penyakit itu dijumpai semasa pengesanan kes aktif oleh Kementerian Kesihatan terhadap 300 orang asli di penempatan itu pada 12 Julai.

Pada 11 Julai, beliau berkata seorang daripada orang asli yang datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik desa di Kuala Lipis didapati positif malaria.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengadakan pengesanan kes aktif dan 10 lagi orang asli didapati positif menghidap malaria daripada jenis yang sama.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata terdapat lima jenis malaria dan vivax malaria adalah jenis malaria biasa yang terdapat di Malaysia.

"Lazimnya pesakit akan sembuh dengan sangat cepat selepas tiga hari diberi drug anti-malaria,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Adeeba berkata, secara umumnya vivax malaria tidak menimbulkan kebimbangan dari segi kesihatan.

"Malaysia mempunyai bekalan ubat dan drug anti-malaria yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sedang dalam proses untuk membasmi vivax malaria.

"Jadi adalah malang apabila masih berlaku wabak di beberapa tempat di negara ini. Bagaimanapun secara keseluruhan, negara mencatat prestasi memberangsangkan dari segi pembasmian malaria,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!