GRO, kekasih ditahan edar dadah
KUALA LUMPUR - Kegiatan seorang gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan kekasihnya yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah terbongkar dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Dang Wangi, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi.
Katanya, pemeriksaan menjumpai dadah disyaki jenis heroin seberat 19 gram.
"Soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur kira-kira jam 5.45 pagi dan pemeriksaan menjumpai serbuk ekstasi seberat 2.19 kilogram dan ketamin (6 gram).
"Polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan pengedaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Mazlan berkata, dianggarkan nilai rampasan dadah berjumlah RM221,220.
Tambah Mazlan, siasatan mendapati pasangan kekasih ini bergerak aktif mengedar dadah di pusat hiburan sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
"Ujian air kencing juga mendapati suspek wanita Vietnam ini positif dadah jenis syabu, manakala suspek lelaki negatif.
"Siasatan masih dijalankan dan kedua-dua mereka ini kini sedang direman selama enam hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!