Persekutuan bantu tangani isu kemiskinan di Kelantan

R Sivarasa
R Sivarasa
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan membantu mengatasi masalah kemiskinan di Kelantan dengan memberi penekanan terhadap usaha menangani beberapa faktor dikenal pasti menjadi penyumbang seperti kekurangan prasarana, masalah bekalan sumber air yang dirawat serta jalinan jalan raya.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata, kerjasama yang baik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri adalah penting bagi mengatasi masalah itu termasuk isu pembangunan di luar bandar, supaya usaha yang ada tidak bertindih dan manfaat dapat diberikan secara maksimum kepada semua.

"Kerajaan akan melaksanakan pendekatan tertentu dalam masa terdekat untuk menangani perkara-perkara berkaitan, termasuk berusaha melengkapkan prasarana yang diperlukan.

“Malah kerajaan Persekutuan juga akan menyediakan program yang dapat meningkatkan ekonomi masyarakat di Kelantan khususnya dalam membangunkan industri usahawan kecil,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Menurutnya, statistik menunjukkan tahap kemiskinan di luar bandar adalah lima kali ganda perbezaan dengan bandar, menjadikan ia sebagai satu isu yang mencabar dan pihaknya berharap jurang ini dapat dikurangkan pada masa akan datang.

"Beberapa media sebelum ini melaporkan masalah prasarana terutama isu air terawat dan jalan raya dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan tujuh daerah di negeri ini tersenarai antara 28 daerah miskin di seluruh negara iaitu Tumpat, Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh," katanya.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, kerjasama antara negeri dan Persekutuan dapat diteruskan dan diperkukuhkan kerana banyak perkara yang perlu di selesaikan secara bersama.

“Isu pembangunan luar bandar ini jika hanya dilakukan oleh satu pihak sama ada Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri ia tidak akan berkesan jadi kita perlu penyelarasan kedua belah pihak dalam perlaksanaan program dan sebagainya,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!